Peningkatan tempahan dan eksport dijangka jadi pemangkin pertumbuhan SLP Resources - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan tempahan dan eksport dijangka jadi pemangkin pertumbuhan SLP Resources - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Peningkatan kadar tempahan dan eksport ke pasaran antarabangsa dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan SLP Resources Bhd. 

 

Kenanga Research berkata, pengurusan memberikan panduan bahawa perniagaan kumpulan itu akan mencatatkan peningkatan sederhana pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

"Pertumbuhan itu didorong peningkatan eksport ke Jepun dan New Zealand, permintaan pembungkusan yang mampan di Malaysia dan peningkatan tempahan untuk filem MDO-PE.

 

"Kumpulan itu telah menyaksikan lonjakan dalam tempahan terutama untuk beg dapur sejak Disember 2023 dan peningkatan itu dijangka berterusan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penggunaan SLP ketika ini berada pada kadar 58% (suku keempat FY23 pada 52%) berbanding tahap optimum 70%.

 

"Kami percaya prestasi hasil yang lebih baik akan diterjemahkan kepada margin yang lebih baik berdasarkan skala ekonomi yang akan membantu mengurangkan sebahagian kos utiliti yang semakin meningkat," katanya.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu berharap dapat menarik pembeli baharu untuk filem MDO-PE yang boleh dikitar semula sepenuhnya pada masa hadapan.

 

“Ia baru-baru ini menerima laporan percubaan positif daripada pelanggan, mengesahkan bahawa sampel filem itu memenuhi syarat kelayakan yang ketat termasuk pelbagai ujian.

 

"SLP optimis bahawa mereka akan memperoleh lebih banyak tempahan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan menggandakan kadar penggunaan kilang filem mononya kepada 40% daripada 20% pada masa ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sambutan menggalakkan terhadap filem mono SLP boleh dikaitkan dengan trend ke arah pembungkusan mampan, didorong oleh peraturan sisa pembungkusan yang lebih ketat di Eropah dan Vietnam.

 

Katanya, kumpulan itu juga merancang perbelanjaan modal sebanyak RM20 juta pada FY24, menandakan pelaburan modal pertama sejak FY19.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham," katanya.- DagangNews.com