KUALA LUMPUR 25 April - Menerusi penyatuan rangkaian yang sedang dilaksanakan, hampir 25% daripada 23,000 tapak menara telekomunikasi CelcomDigi Berhad bakal dilupuskan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma itu berkata, pelupusan itu berkemungkinan menyebabkan susut nilai dan pelunasan (D&A) meningkat dalam tempoh itu.
"Kami menyemak semula unjuran D&A kepada RM3 hingga RM3.2 bilion setahun berbanding unjuran yang lebih konsevatif sebelum ini sebanyak RM2.5 bilion hingga RM2.6 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, D&A yang lebih tinggi adalah bukan tunai dan ia tidak mempunyai kesan material kepada aliran tunai terdiskaun (DCF).
Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan itu lebih rendah pada FY23 dan FY24 pasti mengakibatkan dividen lebih rendah.
"Pada masa ini, kami menganggap nisbah pembayaran adalah sebanyak 90% pada masa hadapan dan bayangan hasil bersih di bawah 3% pada FY23," katanya.
Firma mengekalkan saranan 'pegang' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) RM4.60 sesaham.
Katanya, unjuran itu bagaimanapun tidak menggambarkan sebarang perbelanjaan berkaitan 5G dan Digital Nasional Berhad. - DagangNews.com