Penyelidik UPM guna gentian enau tingkat janaan elektrik modul solar | DagangNews Skip to main content

Penyelidik UPM guna gentian enau tingkat janaan elektrik modul solar

Modul Solar PVDF-Komposit Lembaran Belakang SSPF

Modul Solar PVDF-Komposit Lembaran Belakang SSPF.

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meningkatkan kestabilan haba, faktor tenaga dan keberkesanan tenaga solar dengan mengintegrasikan gentian enau (short sugar palm fibre) (SSPF) ke dalam modul solar. 

Mengetuai penyelidikan tersebut, Prof. Ir. Dr. Mohd. Sapuan Salit berkata, penemuan itu menggabungkan komposit gentian semulajadi (NFC) dan Polyvinylidene fluoride (PVDF) dalam modul Polycrystalline (PV) bagi meningkatkan fungsi haba, optikal, mekanikal dan fungsi modul PV. 

"Dengan mengintegrasi lapisan SSPF ke dalam modul itu, ia memaparkan kestabilan terma yang luar biasa, keupayaan elektrikal dan prestasi persekitaran yang cemerlang.

"Penemuan itu juga membantu industri solar dan tenaga diperbaharui untuk menunjuk dan menghasilkan kestabilan haba secara lebih berkesan kepada modul PV.

 

Analisis peta haba menunjukkan prestasi haba (a) & (b) suhu permukaan modul kajian dan lapisan belakang modul kajian yang dijalankan dalam ujian serentak; (c) & (d) suhu lapisan belakang PVDF-SSPF dan lapisan belakang modul konvensional dalam kajian cuaca yang serupa.
Analisis peta haba  menunjukkan prestasi haba (a) & (b) suhu permukaan modul kajian dan lapisan belakang modul kajian yang dijalankan dalam ujian serentak; (c) & (d) suhu lapisan belakang PVDF-SSPF dan lapisan belakang modul konvensional  dalam kajian cuaca yang serupa.

 

"Kerjasama antara bidang eletrikal dan mekanikal ini akan menyumbang kepada alam sekitar dan memenuhi permintaan global yang meningkat terhadap penghasilan tenaga. Kejayaan ini adalah sesuatu yang baru dan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berjaya membuat penemuan tersebut bersama penyelidik lain iaitu Dr. Alaaeddin M. H. Abed, Mohamad Hazrol Md Damiri, Prof. Madya Dr. Edi Syams Zainuddin, Dr. Mohd Zuhri Mohamed Yusoff dan Penolong Prof. Dr. Faris M. Al-Oqla.

Penemuan itu ditemui dengan menggunakan komposit gentian semula jadi (NFCs) atau SSPF untuk meningkatkan kestabilan haba bagi meningkatkan prestasi penjanaan elektrik modul solar. 

 

Teknologi berkenaan menjanjikan prospek yang baik di pasaran tenaga solar berdasarkan:               

  • Kestabilan haba yang lebih tinggi berbanding modul komersial.
  • Peralihan haba yang seimbang 
  • Penjanaan tenaga yang lebih tinggi
  • Meningkatkan kecekapan dan prestasi di kawasan persekitaran
  • Tekstur nano dan biokomposit yang seragam dan baik
  • Ketahanan haba yang luar biasa 
  • Rintangan yang sangat baik terhadap lengkungan
  • Ringan, kos yang murah,dan mesra alam
  • Mengurangkan kos pemprosesan dan pembuatan
  • Sumber dan bahan mentah yang banyak dengan rawatan serat yang kurang
  • Faedah berganda inovasi teknologi hijau “Green & Renewable”

 

Modul solar itu berjaya memenangi Anugerah Emas Rekacipta dan Inovasi pada Expo Teknologi Malaysia 2020 (MTE) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur selain memenangi pingat perak pada Pameran dan Inovasi Kejuruteraan (EIE) UPM.

 

modul solar

 

Tambah beliau lagi, kos pengeluaran modul solar berkenaan adalah rendah dengan mengurangi 50% tenaga bagi setiap unit dan boleh menjana 20% lebih kuasa berbanding modul solar konvensional dan dapat menjimat 38% sisa sumber buangan. 

"Ia akan berada di pasaran pada 2022, bergantung kepada tahap rekabentuk sistem serta pengeluaran, dan juga selepas mendapat pengesahan untuk kegunaan khusus bagi orang awam," ujarnya. - DagangNews.com