Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Julai - Aktiviti penyeludupan rokok di Malaysia menunjukkan pengurangan sebanyak 6.2% pada Mei 2021 kepada 57.9%, menurut Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS).
Jumlah berkenaan adalah lebih rendah berbanding 64.1% yang dicatatkan pada Disember 2020.
Menurut Kajian ICS, pengurangan tersebut adalah pertama kali berlaku sejak Disember tahun lalu.
Pengarah Urusan JT International Berhad (JTI Malaysia), Khoo Bee Leng memuji kerajaan Malaysia yang menjalankan kawalan yang lebih ketat dan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap aktiviti import rokok haram yang telah memberi impak yang lebih baik.
"Pengurangan aktiviti penyeludupan rokok haram itu seiring dengan polisi yang diumumkan Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2021.
"Ia termasuk penghentikan pemberian lesen import baharu, memperketat aspek pembaharuan lesen import, mengehadkan pemindahan rokok haram ke lima buah pelabuhan khusus dan mengenakan cukai ke atas import rokok dengan kemudahan bayaran balik cukai bagi tujuan eksport semula," katanya dalam satu sidang media secara maya hari ini.
Mengulas berkaitan dengan cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap industri rokok haram, beliau memberitahu, keputusan kerajaan yang menaikkan cukai tersebut menyebabkan kadar penyeludupan rokok meningkat sebanyak 43%.
Tidak cukup dengan itu, kadar penyeludupan rokok semakin berkembang melebihi 50% setiap tahun dan mencapai paras tertinggi 64.1% pada Disember 2020.
"Pengurangan pertama kali kadar penyeludupan ini tidak seharusnya dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan cukai eksais terhadap rokok.
"Sebarang jurang harga antara rokok sah dan rokok haram seperti kenaikan cukai akan memberi kesan yang sebaliknya terhadap perkembangan yang dicapai dalam tempoh separuh pertama 2021.
"Adalah penting bahawa perolehan keseluruhan kerajaan akan meningkat secara automatik seiring dengan pemulihan industri rokok sah. Ini adalah situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak dan turut memberi manfaat kepada kerajaan," ujarnya.
Ditanya berkaitan impak PKP 3.0 terhadap industri rokok sah di Malaysia, Khoo memberitahu, industri rokok sah secara keseluruhannya lebih bersedia berdepan wabak berkenaan semasa pelaksanaan perintah tersebut.
Tambahnya, PKP kali ini pihaknya lebih bersedia dalam aspek rantaian bekalan dan saluran pengagihan berbanding tahun 2020, yang merupakan pengalaman pertama bagi semua orang.
"Dan saya rasa kali ini kami lebih bersedia mendepani pelbagai cabaran termasuk aspek bekalan dari luar negara yang mana negera berkenaan turut mengalami perintah berkurung seperti di Manila, Filipina.
"Negara berkenaan juga ada perintah berkurung, jadi kami berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendapatkan dan mengagihkan produk," tambah beliau lagi. - DagangNews.com