Penyenaraian FGV bukan kesilapan - Felda | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian FGV bukan kesilapan - Felda

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Felda secara dasarnya mengakui penyenaraian FGV Holdings Bhd. menjadi punca kemerosotan pendapatannya sejak 2012 sehingga kini, namun ia bukan 'kesilapan' institusi tersebut. 

Ini dijelaskan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dalam taklimat khas kepada Ketua Editor hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar. 

"Saya tidak katakan ini (kesilapan). Tetapi selepas penyenaraian, pendapatan yang patut kita dapat daripada ladang ini berkurangan. 

"Kemudiannya, apabila pendapatan berkurang, kita perlu pinjam. Satu lagi perkara adalah model kita, beri pinjaman kepada peneroka terlalu lama yang kita sepatutnya 4 tahun jadi 8 tahun. Ini isu utama sebenarnya," katanya merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan sama ada ia satu kesilapan Felda atau tidak.  

Pada 2019, Felda hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta dan jumlah itu, jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan Felda sebelum itu dengan tertinggi pernah dicapai pada 2011, iaitu RM1.85 bilion.

Sebelum ini, keuntungan berbilion ringgit bukan sesuatu yang baharu buat Felda malah sejak 2007, keuntungan operasi ladang Felda semuanya melepasi paras RM1 bilion kecuali pada 2009 yang mencatatkan RM854 juta.

Selepas FGV disenaraikan, keuntungan Felda mula jatuh dengan banyak sehinggakan apabila Felda terpaksa berhutang dengan bank dan hingga kini mencecah RM10 bilion.

Sementara itu, Abdul Wahid menjelaskan, daripada penyenaraian tersebut, Felda dan FGV mendapat RM11 bilion dan sekiranya ia dilaburkan dengan baik ia tidak akan menyebabkan kerugian kepada Felda. 

"Tetapi daripada jumlah itu, terdapat pelaburan yang tidak mendatangkan pulangan dan pada masa sama juga pengurangan (pendapatan) dari ladang. 

"Situasi ini menyebabkan nilai aset bersih Felda menyusut daripada RM20.2 bilion pada 2012 kepada RM7.1 bilion setakat 31 Disember 2019," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pampasan yang akan diberikan berikutan keputusan kerajaan menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) adalah lebih rendah berbanding anggaran yang dibuat FGV antara RM3.5 hingga RM4.3 bilion. 

Jelas beliau, bayaran pampasan itu juga termasuk semua 68 kilang sawit milik FGV.

"Terma LLA secara jelas menunjukkan jumlah pampasan yang akan diterima apabila LLA ditamatkan. 

"Bagaimanapun, kami akan berbincang terlebih dahulu dengan pengurusan FGV berkenaan perkara ini," katanya. 

Semalam, FGV menganggarkan jumlah pampasan tersebut adalah berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

Abdul Wahid juga menegaskan, Felda tidak ada sebarang perancangan untuk mengurangkan pegangannya sebanyak 33.6% dalam FGV, setakat ini. - DagangNews.com