Penyerahan OPV APMM tertangguh lagi, kelewatan ketiga selepas dijanjikan pada Mac dan Julai | DagangNews Skip to main content

Penyerahan OPV APMM tertangguh lagi, kelewatan ketiga selepas dijanjikan pada Mac dan Julai

Penangguhan untuk menyerahkan kapal OPV pertama APMM menyebabkan projek ini menjadi tanda tanya.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 25 Julai - Status kapal ronda pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus menjadi tanda tanya apabila penyerahan kapal yang dijanjikan semalam tidak berlaku.

 

APMM sepatutnya menerima OPV pertama daripada tiga buah kesemuanya setelah tertangguh sekian lama.

 

Ini bermakna penyerahan OPV APMM tertangguh lagi manakala tiada tarikh baharu diumumkan.

 

Tarikh 24 Julai itu adalah sepertimana dimaklumkan oleh pihak syarikat pembinaannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

 

Ia setelah menteri tersebut mengadakan lawatan mengejut ke lokasi pembinaan kapal di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah, Selangor bulan Mac.

 

Imbas kembali lawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ke lokasi pembinaan kapal di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah,
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tiga dari kanan) menerima model OPV yang disampaikan mantan Ketua Pengarah APMM, Datuk Zubil Mat Som semasa melawat ke limbungan pembinaan TH Heavy Engineering Berhad di Pulau Indah, Selangor pada Februari lalu. 

 

Berdasarkan pembentangan ketika lawatan, Saifuddin yakin OPV 1 akan diserahkan kepada APMM pada tarikh yang dijanjikan itu.

 

Kelewatan ini sebenarnya telah dijangka apabila tiada progres atau kemajuan kapal dikongsikan kepada umum.

 

Pada masa sama, sikap terlalu berahsia sama ada syarikat atau pun agensi kerajaan terlibat berhubung perkembangan progam OPV APMM ini menyebabkan ia terus memberi gambaran negatif.

 

Berbeza dengan kapal perang tentera laut, OPV APMM bukanlah kapal yang terlalu canggih berdasarkan kelengkapan kerana ia hanyalah sebuah kapal peronda untuk pasukan penguat kuasa, jadi sikap terlalu berahsia itu sebenarnya tidak perlu.

 

Pihak kepimpinan kanan APMM sendiri mengambil pendekatan kunci mulut serta tidak mahu bercakap sebarang perkara berkaitan program OPV.

 

Sehubungan itu, penangguhan demi penangguhan ini telah memberi persepsi nehgati
Pihak bertanggungjawab perlu menjelaskan kepada umum apa punca sebenar kelewatan untuk menyerahkan OPV pertama APMM. 

 

Alasan meriam
Kelewatan menerima meriam Aselsan 30mm buatan Turkiye jenis sama seperti dipasang pada kapal KM Bagan Datuk dikatakan punca kelewatan OPV sebelum ini.

 

Perkara itu sebaliknya boleh difahami memandangkan kapal OPV ini belum menjadi aset pasukan itu selagi ia belum diserahkan.

 

Disebabkan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan APMM berhubung perkembangan semasa OPV ini menyebabkan pihak media terus berteka-teki.

 

Perkara demikian tidak sepatutnya berlaku, kerana jika benar perlu tempoh lebih lama kapal diserahkan, maka satu kenyataan mesti dikeluarkan pihak berkuasa.

 

Status projek OPV mesti diberikan oleh kerajaan melalui kementerian yang terlibat sama ada KDN atau Kementerian Kewangan (MOF).

 

Ini kerana projek OPV 1 telah diambil alih oleh kerajaan menerusi MOF pada Januari selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

 

KM Bagan Datuk bersama kapal KD Laksamana Tan Pusmah semasa mengadakan latihan bersama
KM Bagan Datuk (kanan) bersama kapal KD Laksamana Tan Pusmah semasa mengadakan latihan bersama. Mempunyai kapal besar membolehkan APMM untuk beroperasi lebih jauh di kawasan perairan luas.

 

MOF menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

 

KDN pula sebagai kementerian yang menaungi APMM iaitu pasukan keselamatan yang bakal mengoperasikan kapal tersebut sudah pasti menantikan aset ini.

 

Situasi terbaru ini menjadikan ia penangguhan kali ketiga selepas jangkaan kapal akan diserahkan pada Mac lalu sebelum ditangguhkan pada 24 Julai.

 

Sebelum ini, kelewatan menerima meriam utama dari Turkiye dikatakan sebagai punca kelewatan kapal disiapkan.

 

Bagaimana pun, sehingga awal bulan ini kelibat meriam tersebut masih belum kelihatan bermakna meriam tidak dipasang lagi.

 

KM Arau
Kapal terbesar APMM, KM Arau bekas kepunyaan pasukan pengawal pantai Jepun.

 

Jika mengikut kontrak asal, projek OPV APMM ini sepatutnya siap pada tahun 2020 iaitu tiga tahun lepas.

 

Kegagalan pihak kontraktor menyiapkan kapal mengikut jadual menyebabkan program OPV APMM ini telah memberi persepsi negatif kepada umum.

 

Sepanjang tempoh tersebut, isu OPV APMM ini telah disuarakan oleh banyak pihak khususnya media tempatan yang mahu melihat pasukan keselamatan negara memiliki aset terbaik. - DagangNews.com