Penyertaan pelabur runcit kukuhkan momentum Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Penyertaan pelabur runcit kukuhkan momentum Bursa Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Aktiviti dagangan akan terus mengekalkan momentum sehingga separuh kedua tahun ini sekali gus mencerminkan prestasi Bursa Malaysia Bhd. yang kukuh. 

 

Penganalisis MIDF Research, Imran Yassin Yusof berkata, ia turut menyaksikan penyertaan pelabur runcit semakin meningkat di sebalik kelemahan pasaran pada suku kedua 2021.

 

Pada masa sama, katanya, Bursa Malaysia juga mengukuhkan perniagaan terasnya dengan memperluaskan pelbagai tawaran produk dan membuat pelaburan dalam teknologgi.

 

"Kami melihat semua faktor ini akan menyumbang kepada prestasi Bursa Malaysia yang lebih baik tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Bursa Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.90.

 

Bursa Malaysia merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM88.97 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 meningkat 3.2% berbanding RM86.23 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM196.1 juta berbanding tahun sebelumnya, RM179.78 juta.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021 pula, Bursa Malaysia merekodkan PAT berjumlah RM210.4 juta, meningkat 39.4% berbanding RM151 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga meningkat kepada RM428.73 juta berbanding RM330.53 juta.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi kewangan bagi separuh pertama tahun ini adalah pencapaian setengah tahun yang tertinggi pernah direkodkan sejak penyenaraiannya pada 2005.

 

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Research yakin penggunaan pendigitalan yang semakin meningkat dapat menambah nilai kerana memudahkan penyertaan pelabur runcit.

 

Meskipun nilai purata dagangan harian (ADV) bulan ke bulan susut 18% kepada RM3.09 bilion, tetapi penyertaan pelabur runcit meningkat 39% pada separuh pertama 2021 berbanding tahun kewangan 2017-2019 pada purata 23%. 

 

"Dalam erti kata lain, penyertaan pelabur runcit telah membantu mengimbangi dagangan di bursa, pada ketika pelabur asing dilihat 'menyepikan diri' ekoran ketidaktentuan politik," katanya.

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021-2022 antara 5 hingga 10% disebabkan ADV yang lebih rendah tetapi mengekalkan penilaiannya memandangkan Bursa Malaysia masih dilihat menarik kerana dagangannya 28% lebih rendah berbanding Singapore Stock Exchange (SGX).

 

"Ini terutama disebabkan kecenderungan saham tersenarai SGX untuk diniagakan dengan pengurangan harga kepada saham yang tersenarai di Bursa Malaysia," katanya.

 

Kenanga menyemak naik Bursa Malaysia kepada 'outperform' berbanding 'market perform' sebelum itu tetapi merendahkan harga sasarannya kepada RM8.20 berbanding RM8.80. - DagangNews.com