Penyewa artisan tempatan dijangka raih jualan RM1 juta menerusi #HandmadeisHeartmade | DagangNews Skip to main content

Penyewa artisan tempatan dijangka raih jualan RM1 juta menerusi #HandmadeisHeartmade

#HandmadeisHeartmade

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangenews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Platform e-dagang untuk para artisan Malaysia mempamerkan bakat serta produk kreatif, The Artisans Haven™ (TAH) melancarkan #HandmadeisHeartmade dengan menjanjikan jualan RM1 juta bagi penyewa dalam tempoh 12 bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama The Artisans Haven™, Jade Lee berkata, usaha tersebut turut disokong dengan penambahbaikan web e-dagang serta beberapa kolaborasi utama dengan syarikat-syarikat korporat. 

 

“Kita semua tahu untuk mencipta sesuatu memerlukan keazaman dan semangat. Ketika pandemik COVID-19 melanda, ramai beralih kepada minat dan kepakaran mereka untuk mencari nafkah. 

 

"Sekatan pergerakan yang dilalui rakyat Malaysia juga menyaksikan peningkatan ketara peranan yang dimainkan oleh sektor tukang artisan buatan tangan, yang kini dianggap talian hidup bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba.

 

"Lahir dari keinginan bagi memenuhi keperluan golongan individu kreatif ini, TAH ditubuhkan pada September tahun lepas. Kami bermula dengan 30 penyewa dan selepas beberapa bulan, bilangan penyewa kami meningkat sehingga 250 penyewa," katanya dalam satu kenyataan.

 

TAH kini sedang berkembang dengan kadar 50 penyewa baharu setiap bulan selain menjangkakan akan mencapai 1,000 penyewa dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Jade Lee
Jade Lee

 

Mengulas berkaitan penambahbaikan pada platformnya, beliau memberitahu, pihaknya sangat gembira memperkenalkan web e-dagang baru dengan penambahbaikan yang berterusan.

 

Katanya, TAH yang baru itu beserta kolaborasi yang telah kami jalankan dengan beberapa syarikat korporat diharapkan dapat menghasilkan jualan sekurang-kurangnya RM1 juta dalam tempoh 12 bulan untuk penyewa kami. 

 

Sokongan sedemikian dilihat amat relevan dan diperlukan, pasca pandemik, dengan pasaran tenaga kerja dijangka akan terus rendah pada tahun 2021.

 

Laman web TAH dilayari sebanyak 200,000 kali sejak ia ditubuhkan di samping halaman Facebook yang mencapai lebih dari 300,000 orang dalam masa 28 hari terakhir dengan keterlibatan setinggi 100,000 setiap minggu serta sesi Facebook LIVE yang mempamerkan pelbagai produk artisan.

 

Sehubungan itu, Jade percaya dengan sokongan berterusan dari masyarakat, industri kreatif tempatan, dari kraftangan tradisional, karya unik moden sehingga seni visual dan persembahan dapat dipelihara dan yang baru akan terus dicipta.

 

"Kita semua masing-masing mempunyai peranan untuk melindungi mata pencarian mereka dan memastikan kemahiran dan pengetahuan para artisan terpelihara.

 

"Menerusi The Artisans Haven™, kami kini mampu memperjuangkan bakat para artisan tempatan dalam mencipta produk buatan tangan #HandmadeisHeartmade serta mampu diakses oleh rakyat Malaysia, dan seterusnya menyokong kejayaan perniagaan mereka. 

 

"Kami ingin memulakan trend buat pengguna untuk membeli dari para artisan dalam menyokong perniagaan tempatan dan memperkukuhkan budaya dan warisan tempatan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com