Perak SADC bina landas bot bantu tingkatkan ekonomi nelayan darat | DagangNews Skip to main content

Perak SADC bina landas bot bantu tingkatkan ekonomi nelayan darat

Pembinaan landas ini juga menjadi tarikan baharu bagi penduduk setempat kerana lokasinya tidak jauh dari Padang Koba yang tular di media sosial. - Gambar DagangNews.com
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 27 Ogos - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan dana berjumlah RM38,250 bagi pembinaan landas bot untuk kegunaan nelayan darat di Lambor Kanan, Bota.

 

Pembinaan landas yang berkeluasan 15’ (lebar) x 10’ (tinggi) itu telah mula dilaksanakan pada November tahun lalu dan siap sepenuhnya sekitar Mac.

 

Ia memberi manfaat kepada lebih 20 nelayan darat di kawasan tersebut untuk melakukan aktiviti pendaratan dan memunggah hasil tangkapan dengan efisien.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya berkata, pembinaan landas bot itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya pihaknya membantu nelayan darat.

 

Menurut beliau, kemudahan tersebut juga sebagai penyumbang dalam memastikan peningkatan penjanaan sumber pendapatan kepada golongan berkenaan.

 

"Landas ini dapat memuatkan dua bot pada satu-satu masa yang mana secara tidak langsung ia dilihat sebagai penyumbang dalam peningkatan sumber pendapatan nelayan darat.


 

perak sadc
Yahanis Yahya (dua dari kanan) melihat landas bot di Lambor Kanan, Bota sebagai kemudahan baru untuk kelompok nelayan darat.

 

"Selepas ini MyKomuniti Perikanan kawasan Lambor juga akan diwujudkan untuk melahirkan komuniti yang mampu bekerjasama melaksanakan aktiviti penangkapan ikan.

 

"Komuniti ini juga akan diperluaskan fungsinya termasuk menjalankan ternakan akuakultur seterusnya mencipta peluang ekonomi," katanya.

 

Bersempena dengan majlis perasmian landas tersebut, Perak SADC turut menganugerahkan pelbagai geran bantuan kepada 21 usahawan di Perak Tengah.

 

Antaranya geran Program Asnaf Berjaya, Skim Sekuriti Makanan Usahawan Perak SADC dan Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start serta Skim Pembiayaan Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC.

 

Ia bermatlamat untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan, produk hiliran serta makanan.


 

perak sadc
Perak SADC sentiasa komited membantu golongan usahawan agro menerusi pemberian geran untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat.

 


Dalam pada itu, pembinaan landas itu menjadi tarikan baharu bagi penduduk setempat kerana lokasinya tidak jauh dari Padang Koba yang tular di media sosial. 

 

Padang Koba iaitu sebuah kawasan padang ragut menjadi lokasi pengambaran filem epik Mat Kilau menerima ribuan pengunjung terutamanya pada hujung minggu.

 

Justeru, kawasan ini berpotensi dijadikan tumpuan beriadah dan membuka peluang menjana pendapatan. - DagangNews.com