IPOH 20 Julai - Seramai 15 usahawan Perak terlibat dalam program jualan Malaysia Fest di Singapura yang akan berlangsung pada 27 hingga 30 Julai ini di Singapore Expo Convention & Exhibition Centre, Changi.
Penyertaan lapan daripada usahawan ini diselaraskan oleh Sekretariat Usahawan Negeri Perak (Step) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri
Turut terlibat ialah Majlis Amanah Rakyat dan Unit Perancangan Ekonomi Perak.
Enam usahawan lain pula menyertai program ini di bawah Pavilion Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) manakala satu usahawan dibawa Ibu Pejabat FAMA.
Program Malaysia Fest 2023 dapat memperluaskan pasaran produk usahawan tempatan ke seberang tambak selain membina jaringan perniagaan.
Usahawan juga dapat mencari agen berpotensi ke Singapura dan lain-lain negara.
Berdasarkan penyertaan ini, Perak menyasarkan jualan sehingga RM300,000 melihat pada potensi produk berasaskan makanan keluaran usawahan tempatan yang dibawa.
Terdahulu, majlis pelepasan Lori Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest Singapura 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Delegasi kerajaan negeri Perak akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.
Pada program Malaysia Fest 2022 lalu, lapan usahawan Perak telah terlibat yang mana berjaya mengumpul jualan sebanyak RM141,000.
Daripada jumlah itu, dua usahawan telah berjaya mendapatkan pasaran di Singapura, manakala dua lagi meningkatkan kualiti produk daripada segi pembungkusan dan pensijilan. - DagangNews.com.