Peralihan fasa PPN, bantu ekonomi berkembang semula - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Peralihan fasa PPN, bantu ekonomi berkembang semula - MIDF Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ekonomi Malaysia akan kembali berkembang apabila negara beralih kepada fasa seterusnya di bawah Program Pemulihan Negara (PPN). 

 

Ketika ini, 8 negeri sudah beralih ke fasa kedua iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak manakala sebahagian lagi masih kekal di bawah fasa pertama. 

 

Kerajaan hanya menjangkakan kebanyakan negeri akan bertukar ke fasa keempat pada awal Oktober nanti apabila kadar vaksinasi mencapai 80% penduduk dewasa. 

 

Menurut MIDF Research, di sebalik kadar vaksinasi yang cepat, pembukaan semula ekonomi juga dapat membantu memacu semula pertumbuhan ekonomi yang turut didorong permintaan kukuh. 

 

"Melihat kepada apa yang berlaku di United Kingdom, pemulihan ekonomi selepas pelaksanaan sekatan pergerakan adalah lebih menggalakkan kerana risiko jangkitan berkurangan memandangkan ramai penduduk sudah divaksinasi dan mencapai kadar imunisasi kelompok akhir tahun ini.

 

"Oleh itu, ekonomi negara juga dijangka berkembang apabila selagi situasi pandemik COVID-19 ini terurus terutama dengan kadar vaksinasi yang berjalan dengan pantas ketika ini," katanya dalam laporan tematik hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 4.6% memandangkan ekonomi negara masih berdepan dengan sekatan pergerakan. 

 

Setakat 26 Julai, kadar vaksinasi merekodkan dos harian tinggi pada 521,923 dan sebanyak 17.8 juta dos telah diberikan.

 

Ini menunjukkan 12.13 juta penduduk atau 37.1% sudah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin, termasuk 5.7 juta atau 17.5% yang sudah divaksinkan sepenuhnya. 

 

"Malah, Malaysia mencatatkan kadar inokulasi tertinggi di dunia setakat ini dan kami percaya ini akan terus meningkatkan keyakinan kepada pemulihan ekonomi.

 

"Kami yakin, negara berada dalam landasan yang tepat untuk memenuhi sasaran kerajaan mencapai imuniti kelompok menjelang Disember ini," katanya. 

 

MIDF Research mengekalkan unjuran FBM KLCI berlegar pada 1,700 mata menjelang akhir tahun ini. - DagangNews.com