Perbankan: HLIB ramal NIM lebih stabil pada suku kedua 2024 | DagangNews Skip to main content

Perbankan: HLIB ramal NIM lebih stabil pada suku kedua 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan margin faedah bersih (NIM) yang lebih stabil pada suku kedua tahun ini memandangkan bank secara umumnya lebih tegas dalam memberikan pinjaman harga deposit mereka. 

 

Katanya, persaingan bagi deposit tetap (FD) kurang sengit, bagaimanapun, pertumbuhan kredit dilihat berkurangan hasil daripada strategi pemeliharaan (NIM).

 

"Kami juga tidak terlalu bimbang tentang kualiti aset kerana bank dilihat lebih bersedia berbanding sebelum ini.

 

"Peruntukan kerugian pinjaman besar yang dibina sejak tiga tahun lalu bertindak sebagai penampan yang teguh untuk menampung sebarang potensi kenaikan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.


Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan sektor itu pada suku pertama tahun ini meningkat 13% disebabkan oleh Jaws positif (jumlah pendapatan melebihi opex sebanyak 5ppt) dan peruntukan kerugian pinjaman yang lebih rendah (25%).

 

Katanya, hasil sektor diterajui oleh pertumbuhan pinjaman (1.7%), pengembangan NIM (1bp), dan pendapatan bukan faedah yang lebih kukuh (11%).

 

AMMB (+211%; penurunan mendadak dalam elaun pinjaman lapuk) dan Affin (+179%; hapus kira yang besar) mencatatkan prestasi cemerlang manakala BIMB (-18%) adalah berprestasi rendah, diseret oleh jumlah pendapatan yang lemah, peruntukan pembiayaan terjejas yang lebih tinggi , dan kadar cukai berkesan.

 

"Kedua-dua pertumbuhan pinjaman dan deposit kekal kukuh pada +7.8% dari tahun ke tahun dan +7.3% masing-masing," katanya.

 

HLIB mengunjurkan keuntungan sektor FY24/25 berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 6%/4% berbanding 15% pada FY23.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor itu dengan ganjaran risiko kini lebih seimbang kerana tiada pemangkin positif baharu untuk merangsang harga saham lebih tinggi dengan ketara," katanya.- DagangNews.com