Perbincangan Petros-Petronas masih diteruskan, kata Abang Johari | DagangNews Skip to main content

Perbincangan Petros-Petronas masih diteruskan, kata Abang Johari

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept - Anak syarikat kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), masih dalam perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengenai penyeliaan perdagangan minyak dan gas (O&G) di negeri itu, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Bagi menjawab laporan yang memaklumkan perbincangan itu menemui jalan buntu, Abang Johari berkata, tarikh akhir perbincangan antara kedua-dua syarikat itu tetap sebelum 1 Oktober 2024.

 

“Petros akan bekerjasama dengan Petronas dalam pembangunan kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran.

 

"Sebab itu saya berkata, media mungkin diberi maklumat, data atau input yang salah dalam tempoh dua hari lepas,” katanya kepada pemberita di luar persidangan APPEC 2024 hari ini, lapor Borneo Post Online.

 

Beliau menegaskan, tiada isu antara Petros dan Petronas.

 

Ketika diminta mengulas mengenai laporan media mengenai kemungkinan tindakan undang-undang oleh Petronas, Abang Johari berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa maklumat tentang isu itu.

 

“Kami tidak tahu, yang itu, awak kena tanya Petronas," katanya.

 

 

nnn
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Beliau juga memberi jaminan kontrak jangka panjang bagi gas asli cecair (LNG), dengan rakan kongsi seperti Korea Selatan dan Jepun tidak akan terjejas, walaupun Petros menjadi pengagregat gas tunggal di Sarawak.

 

“Tiada apa-apa yang berlaku. Perlu diingat, kerajaan Sarawak mempunyai ekuiti dalam LNG dan kerana kami mempunyai kepentingan dalam LNG, saya rasa kami tidak mahu memusnahkannya.

 

"Jadi kontrak semasa kami dengan pelanggan kekal utuh,” katanya.

 

Beliau juga mengakui kebimbangan dalam industri mengenai potensi gangguan kepada bekalan gas jika Petros mengambil alih peranan agregator, tetapi meyakinkan pihak berkepentingannya, perkara sebegitu tidak akan berlaku. 

 

"Kami mempunyai kepentingan dalam kedua-dua operasi huluan dan hiliran, jadi bekalan LNG akan diteruskan seperti biasa,” ujarnya.- DagangNews.com