KUALA LUMPUR 9 Mei - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM145.7 bilion, meningkat 5.2% tahun ke tahun pada Mac 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ia menjadikan nilai jualan pada suku pertaha tahun ini sebanyak RM429.2 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tu dipacu subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.1% atau RM4.2 bilion kepada RM62.8 bilion.
Katanya, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 4% atau RM2.5 bilion kepada RM64.1 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 3.2% atau RM600 juta untuk berada pada RM18.8 bilion.
"Bagi perbandingan bulanan, peningkatan marginal 3.3% berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan perdagangan borong yang naik 3% diikuti subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan runcit masing-masing merekodkan pertumbuhan 8.3% dan 2.1%," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 7.1% tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan pertumbuhan 8.4% atau RM1.9 bilion kepada RM24.2 bilion.
Katanya, kumpulan lain dalam subsektor itu turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan kedai pengkhususan (10.9%), jualan runcit barangan isi rumah (4.8%), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (8.6%), jualan runcit bahan api kenderaan (4%), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (6.3%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (6.3%) dan jualan runcit di gerai & pasar (3.2%).
Mengulas mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 4% tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1 bilion atau 4.5% kepada RM24.1 bilion.
Katanya, ia diikuti jualan borong makanan, minuman & tembakau (5.4%), jualan borong barangan isi rumah (3.5%), jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (3.2%), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (1.4%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (2.5%) dan jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (2%).
"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3%, disumbangkan jualan borong makanan, minuman & tembakau (4.4%), jualan borong barangan isi rumah (3.3%) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (1.5%)," katanya.
Mohd Uzir berkata, peningkatan 5.2% pada suku pertama tahun ini bagi perdagangan borong & runcit disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM9.1 bilion atau 5.1% kepada RM185.5 bilion diikuti perdagangan borong yang berkembang 4.9% atau RM8.8 bilion untuk merekodkan RM190 bilion.
Katanya, subsektor kenderaan bermotor juga naik 7.8% atau RM3.9 bilion untuk mencapai RM53.8 bilion pada suku tahun ini.
"Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini menokok 0.1%," katanya.
Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini berkembang 5.6% tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding 0.4% pada Februari 2024. Bagi nilai pelarasan musim, indeks meningkat 5% berbanding bulan sebelumnya. - DagangNews.com