Perdagangan runcit diunjur berkembang 7.5% pada 2024 didorong peningkatan aktiviti pelancongan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Perdagangan runcit diunjur berkembang 7.5% pada 2024 didorong peningkatan aktiviti pelancongan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit berkembang sebanyak 7.5% pada 2024 didorong beberapa faktor termasuk peningkatan dalam aktiviti pelancongan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, semua komponen termasuk jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit bertambah baik sebanyak 12.3% dan 9% manakala perdagangan borong meningkat sebanyak 5.2%. 

 

"Melangkah ke hadapan, momentum permintaan domestik yang menggalakkan dijangka berterusan pada 2024 disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan yang stabil, peningkatan dalam aktiviti pelancongan serta dasar ekonomi yang menyokong dan akomodatif.

 

"Bagaimanapun, tekanan inflasi boleh menjejaskan permintaan pengguna bergantung kepada kesan daripada pendekatan subsidi bersasar dan turun naik dalam harga komoditi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit Malaysia Jan 2024 jatuh -1.1% - DOSM

 

Terdahulu, pertumbuhan negatif itu disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang menurun 2.1%, diikuti oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang menguncup 5.1%. 

 

Sebaliknya, subsektor Perdagangan Borong merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2% pada bulan ini.

 

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menyaksikan nilai jualan Januari 2024 meningkat 5.4% berbanding Januari tahun lalu.

 

Peningkatan tahun ke tahun bagi Perdagangan Borong & Runcit pada Januari 2024 dipacu oleh subsektor Perdagangan Borong yang meningkat 5.5% atau RM3.3 bilion kepada RM63.7 bilion.- DagangNews.com