Perdana Menteri seru rakyat bersatu bantu negara keluar daripada kemelesetan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri seru rakyat bersatu bantu negara keluar daripada kemelesetan ekonomi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat negara ini untuk terus bersatu dalam membantu negara dalam mencari jalan keluar daripada kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik ini.

 

Beliau berkata, falsafah yang menyokong perniagaan Malaysia dibuktikan dengan komitmen kerajaan terhadap konsep perkongsian sektor awam dan swasta.

 

"Saya menyeru sektor swasta untuk menjadi pemangkin kepada pembaharuan dalam memacu kemampanan dan seterusnya menyumbang kepada matlamat kolektif dalam menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan," katanya dalam ucapan perasmian yang dirakam lebih awal pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Global (GCET), hari ini. 

 

Sidang kemuncak GCET satu hari yang diadakan bertujuan mempromosikan kerjasama dan diplomasi perniagaan, budaya dan ekonomi digital turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

 

Ismail Sabri berkata, Malaysia memiliki pelbagai kelebihan buat pelabur, bukan sahaja sebagai pintu masuk ke ASEAN, tetapi juga kepada pasaran dunia sementara beberapa organisasi antarabangsa dalam laporan terkini mereka membuktikan keberkesanan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

 

Beliau berkata, Pusat Daya Saing Dunia IMD menempatkan Malaysia sebagai negara ke-25 paling berdaya saing dalam kalangan 64 ekonomi pada 2021 dan Forum Ekonomi Dunia mengenai Indeks Kesediaan Rangkaian 2016 meletakkan Malaysia di tempat keenam kerajaan paling arif digital daripada 139 ekonomi.

 

Dalam mengiktiraf potensi ekonomi China, Perdana Menteri berkata, Malaysia menjadi negara pertama di ASEAN menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara itu pada 1974.

 

Beliau berkata, Malaysia dan China terus mengukuhkan hubungan ekonomi dan menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, menyumbang 18.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2020.

 

"Eksport ke China mencatatkan paras tertinggi baharu pada 2020, berkembang sebanyak 11.1% kepada AS$37.77 bilion (RM159.71 bilion).

 

"China juga merupakan sumber import terbesar Malaysia, menyumbang 21.5% daripada jumlah import," katanya.

 

Mengulas mengenai pelaburan, Perdana Menteri berkata, China muncul sebagai pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia dari 2016 hingga 2020.

 

Beliau berkata, sepanjang lima tahun ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 243 projek dengan jumlah pelaburan AS$14.91 bilion (RM63.05 bilion), menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

 

"Syarikat China yang terkenal seperti Huawei, Longi Solar, Jinko Solar, Alliance Steel, Alibaba Group, Geely Auto Group, Xiamen University dan banyak lagi telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan masing-masing. Kehadiran syarikat-syarikat terkenal dunia ini adalah bukti ekosistem mesra perniagaan Malaysia," katanya. - DagangNews.com