Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kelonggaran bagi perjalanan udara domestik dan darat memberi harapan kepada Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) untuk membawa keuntungan syarikat kembali pulih.
Memandangkan impak negatif ke atas permintaan bahan api kenderaan mula beransur sejak 10 Jun 2020, oleh itu Petronas Dagangan dijangka mencatatkan keuntungan lebih baik menjelang separuh kedua tahun kewangan 2020 (2H20F).
Sejak perjalanan darat dibenarkan, jalan raya mula sesak dan syarikat penerbangan membuka semula operasi penerbangan domestik yang dijangka mencapai kapasiti 90% menjelang suku keempat 2020.
“Berdasarkan situasi tersebut, Petronas Dagangan dijangka mencatatkan keuntungan bersih menjelang 2H20F dengan pemulihan keuntungan akan berterusan pada tahun kewangan 2021 hingga 2022,” jelas laporan analisis CGS-CIMB Research.
Keuntungan bersih suku kedua 2020 Petronas Dagangan menjunam 98% kepada RM3.5 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu tetapi lebih baik berbanding kerugian bersih yang dicatatkan pada suku pertama 2020 iaitu RM29 juta.
Prestasi yang merosot dicatatkan pada suku pertama 2020 adalah berikutan kerugian inventori yang tertangguh dalam cabang runcitnya dan penghapusan inventori kepada nilai bersih yang dijangka diperoleh (net realizable value) pada cabang komersialnya.
Situasi itu tidak berlaku pada suku kedua 2020 berikutan harga minyak mentah Brent hampir mencatatkan nilai dua kali ganda antara 31 Mac hingga 30 Jun tetapi prestasi Petronas Dagangan berdepan permintaan bahan api yang merosot ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.
Walaupun mencatatkan kerugian besar pada separuh pertama 2020, Petronas Dagangan tetap mengumumkan dividen sesaham sebanyak 5 sen pada suku pertama dan kedua 2020.
“Kami menjangkakan Petronas Dagangan mencatatkan 20 sen dividen pada tahun kewangan 2020 dengan nisbah pembayaran 85% walaupun syarikat itu boleh membayar lebih lagi melihatkan baki tunai kasar sebanyak RM2.4 bilion setakat 30 Jun dengan pinjaman hanya RM240 juta.
“Kami meramalkan dividennya akan mencecah 45 sen pada tahun kewangan 2021 dan 60 sen pada tahun kewangan 2022.
“Dividen sesaham Petronas Dagangan akan terus meningkat selepas tahun kewangan 2022 kerana kami percaya perjalanan udara antarabangsa akan pulih mencapai paras 2019 menjelang tahun kewangan 2024,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com