Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov. – Belanjawan 2021 yang diumumkan Jumaat lalu memberi sedikit kelegaan kepada perniagaan francais dalam mengharungi situasi ekonomi pada 2021 meskipun tidak banyak bantuan disalurkan secara langsung kepada industri francais.
Malah, beberapa inisiatif yang diperkenalkan dapat memberi ruang kepada perniagaan francais untuk bertahan dan kekal berdaya saing dalam usaha memulihkan perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19.
Namun, Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan berkata, bajet kali ini dilihat tidak memberi tumpuan bagi memperkasa golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, peruntukan khusus perlu disediakan untuk meningkatkan keupayaan golongan ini berdikari dengan menjana pendapatan sendiri melalui bidang perniagaan.
"Sebagai contoh, sebanyak 11% francaisi di Amerika Syarikat terdiri daripada golongan warga emas dan OKU.
"Ini bermakna golongan ini juga mampu meningkatkan taraf hidup dan memberi sumbangan kepada pemulihan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, MFA melihat terdapat ruang dan peluang bagi membantu golongan pesara dan wanita terbabit dalam perniagaan francais.
"Sama ada mereka boleh dibantu untuk menjalankan perniagaan francais atau mengubah perniagaan sedia ada kepada perniagaan francais melalui dana yang diperuntukan di dalam Belanjawan 2021 ini," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, MFA menyambut baik usaha kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk memberikan kemudahan pinjaman dan pembiayaan kepada perniagaan PKS, usahawan bumiputera dan golongan wanita di bawah inisiatif meringankan beban hidup rakyat, pemerkasaan bumiputera dan golongan wanita, penambahbaikan persekitaran perniagaan serta memudah akses pembiayaan.
Dalam pada itu, katanya, peruntukan RM25 juta bagi program pembangunan francais mikro dan francais mampu milik memberi harapan kepada semua bakal-bakal usahawan supaya dapat menceburi bidang perniagaan francais yang berskala RM20,000 hingga RM100,000.
"MFA menyeru ahli-ahli supaya dapat menyediakan pakej mampu milik dan juga mikro dan kami akan berkerjasama dengan pihak kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan bagi membantu mentransformasikan perniagaan mikro kepada konsep perniagaan francais yang berdaya saing,” katanya.
Selain itu, MFA yakin peruntukan RM35 juta bagi mempromosikan barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan akan dapat meningkatkan potensi eksport bagi perniagaan francais tempatan terutamasektor francais halal dan sektor francais lain ke negara-negara ASEAN.
"Kami juga berharap sektor francais dapat menembusi pasaran baharu seperti di benua Afrika dan negara-negara Balkan serta timur tengah dengan adanya peruntukan ini," katanya.
Radzali berkata, para usahawan francais dan ahli MFA juga boleh memanfaatkan inisiatif pengambilan pekerja di bawah PenjanaKerjaya, program subsidi upah bersasar, program perantisan di bawah pembangunan belia serta pengecualian levi tabung HRDF bagi industri pelancongan.
“Inisiatif dan program ini walaupun hanya merupakan sokongan penggajian jangka pendek daripada kerajaan, ia dapat membantu para peniaga mengekalkan pekerja bagi kelangsungan perniagaan untuk terus bertahan dalam suasana sukar ini,” katanya. - DagangNews.com