Perluaskan moratorium kepada syarikat pinjaman kredit - DPIA | DagangNews Skip to main content

Perluaskan moratorium kepada syarikat pinjaman kredit - DPIA

Presiden Dewan Perdagangan & Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Keputusan kerajaan melanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh hingga 28 Jun ini dijangka boleh melumpuhkan sektor ekonomi khususnya bagi kumpulan pertengahan dan bawah, menurut Presiden Dewan Perdagangan & Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan.


 
Beliau berkata, ini berdasarkan kesan yang dirasai sejak PKP1.0 apabila banyak usahawan terpaksa gulung tikar dan pendapatan mereka pula semakin berkurangan. 

 

"Ini kerana majikan tidak dapat bertahan dan ramai yang telah dibuang kerja.
 

 

"Tempoh pemulihan singkat untuk mereka bangkit kemudiannya bersambung balik ekoran penularan pandemik COVID-19 baru-baru hingga kerajaan terpaksa mengumumkan PKP3.0," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
 

 

Sohaimi menyifatkan, adalah tidak adil hanya beberapa sektor yang dikelaskan sektor perlu (essential) dibenarkan beroperasi kerana sektor-sektor lain juga ada kos operasi yang perlu ditanggung.

 

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu menilai semula perkara ini bagi mengurangkan kesan yang perlu ditanggung pemain industri selain merencana pelan pemulihan ekonomi yang efektif bagi negara.
 

 

Menurutnya, bagi mengekang wabak ini dengan benar-benar berkesan kerajaan perlu melaksanakan total lockdown seperti PKP1.0, bukannya seperti sekarang kerana usaha menurun angka kes harian kekal tinggi disebabkan masih terdapat pergerakan.
 

 

Lebih parah, apabila terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyambung PKP sehingga meranapkan sektor-sektor lain.
 

 

"Sampai bila kita nak tunggu, COVID-19 gagal ditangani. Ekonomi semakin tenat, rakyat menderita dan pengangguran berlaku.
 

 

“Begitu juga dengan percanggahan rantaian komunikasi antara agensi kerajaan seperti polis, kastam, imigresen dan sebagainya menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, PKP3.0 kali ini selain bank-bank, pemberian moratorium secara automatik perlu diperluaskan kepada syarikat pinjaman kredit kenderaan seperti Aeon Kredit termasuk pembelian barangan ansuran.
 

 

"Kita tahu golongan B40  beli motosikal guna seperti Aeon Kredit, pinjaman kedai tapi tidak dapat moratorium. Ini golongan yang perlu diberi perhatian yang terlepas pandang.
 

 

"Banyak lagi yang boleh difikirkan seperti golongan bandar yang tinggal di kondo, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh campur tangan meminta pihak pengurusan kediaman dan perniagaan diminta mengurangkan caj pengurusan sebanyak 30 peratus.
 

 

"Alasannya mudah, banyak fasiliti ditutup dan perniagaan tidak dapat dijalankan," jelas beliau. - DagangNews.com