Permintaan bekalan sarung tangan dijangka seimbang pada 2026, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Permintaan bekalan sarung tangan dijangka seimbang pada 2026, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kenanga Research menjangkakan permintaan bekalan sarung tangan hanya akan seimbang pada 2026 apabila tiada lagi kilang baharu dibuka pada masa akan datang.

 

Katanya, keadaan itu juga akan disokong oleh peningkatan permintaan global sebanyak 15% setahun didorong kesedaran terhadap kebersihan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Persatuan pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan permintaan global antara 12% hingga 15% untuk sarung tangan getah pada setiap tahun bermula 2023 berikutan anggaran penguncupan 25% kepada 300 bilion keping pada 2023.

 

"Kami mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 30% pada tahun ini kepada 390 bilion keping (disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada 2023) dan meneruskan pertumbuhan organiknya sebanyak 15% selepas itu.

 

"Ia bagaimanapun akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 212 bilion keping pada tahun ini.

 

"Lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan tekanan penggunaan kilang yang terus  membelenggu industri pada 2024," kataya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, daripada empat syarikat di bawah liputan mereka hanya satu yang masuk berada dalam ramalan iaitu Kossan Rubber Industries Bhd manakala tiga lagi iaitu Hartalega Holdings Bhd, Supermax Corp Bhd dan Top Glove Corp Bhd berada di bawah ramalan.

 

Katanya, secara keseluruhannya, pemain industri mendapat manfaat daripada asas kos yang lebih rendah berikutan penutupan kilang pengeluaran yang tidak cekap dalam industri.

 

"Penurunan pendapatan pada suku pertama tahun ini menunjukkan persekitaran operasi kekal mencabar, dibelenggu oleh lebihan kapasiti, penetapan harga pemangsa oleh pemain luar negara tertentu, permintaan yang lemah dan kos input yang tinggi," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'underweight' terhadap sektor itu.- DagangNews.com