Harga minyak mentah global dijangka susut ke paras AS$80 setong ekoran permintaan lemah - RHB IB | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mentah global dijangka susut ke paras AS$80 setong ekoran permintaan lemah - RHB IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Sept - RHB Investment Bank menyemak turun ramalan harga minyak mentah Brent bagi 2024-2025 kepada AS$82 dan AS$80 setong daripada AS$88 dan AS$83 selepas prestasi suram harga pada suku ketiga 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan ini mencerminkan sentimen pasaran sekarang yang lemah ekoran kebimbangan yang semakin meruncing akan permintaan minyak yang mungkin berlarutan rendah, lebih-lebih lagi di China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS). 

 

"Harga minyak diramalkan akan pulih daripada paras semasa namun kami tidak menolak kemungkinan untuk risiko semakin memperparah sekiranya prospek ekonomi dunia terus gagal mencapai jangkaan yang kami tetapkan. 

 

"Risiko-risiko negatif yang boleh menjejaskan perwajaran sektor kami ialah harga dan permintaan minyak semakin rendah serta perbelanjaan pelanggan jatuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, saranan pelaburan dikekalkan 'Overweight' dengan syarikat pilihan Utama ialah Dialog, Yinson dan Dayang Enterprise (DEHB). 

 

Kata firma itu, walaupun pasaran sektor minyak & gas tempatan masih bergelut dengan keadaan berterusan tidak menentu, selain penurunan pada unjuran minyak mentah, saranan buat sektor ini masih dikekalkan berikutan harga minyak yang kembali pulih. 

 

"Kami juga menyukai syarikat dalam bahagian perkhidmatan huluan yang lebih terdedah kepada bahagian berkaitan penyelenggaraan kerana mereka boleh menawarkan perolehan jauh lebih bertahan selain menjalankan perniagaan di pasaran-pasaran luar yang rencam," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas raih untung bersih RM32.4 bilion, pendapatan RM171.7 bilion pada 1H2024

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, perbelanjaan capex Petronas pada 2Q24 semakin baik (+40% QoQ; +38% YoY) apabila mencecah RM15 bilion, lantas menaikkan angka 1H24 kepada RM25.7 bilion (+20% YoY).

 

Katanya, segmen huluan (58%) muncul sebagai factor penyumbang terbesar, diikuti oleh segmen gas (17%). 

 

"Menurut laporan-laporan berita, Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) terus menjalinkan perkongsian strategik dalam membangunkan hidrokarbon di Sarawak, malah kedua-dua pihak masih berbincang supaya situasi menang sama menang dapat dicapai. 

 

"Oleh itu, kesan susulan akan bergantung pada keputusan akhir yang akan diputuskan kelak. Selepas mengadakan perbualan dengan beberapa syarikat berbeza dalam segmen huluan, rata-rata syarikat perkhidmatan khususnya dalam bahagian penyelenggaraan masih lagi optimis akan prospek prestasi mereka dalam jangka terdekat hingga sederhana.

 

"Ini ekoran buku pesanan yang tinggi dan kepentingan yang dibawa oleh kerja selenggara apabila melibatkan syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak & gas," ujarnya. - DagangNews.com