Permintaan perlahan telefon pintar 5G berisiko buat Inari Amertron | DagangNews Skip to main content

Permintaan perlahan telefon pintar 5G berisiko buat Inari Amertron

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Permintaan telefon pintar 5G yang perlahan selain peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelewatan penghantaran wafer kepada pelanggan dijangka mendatangkan risiko penurunan kepada penarafan penganalisis ke atas saham Inari Amertron Berhad.

 

Dalam satu nota kajian CGS-CIMB Research bertarikh 9 Ogos 2021, firma itu mengekalkan penarafan ‘tambah’ saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM4 sesaham.

 

Sebagai rekod, Inari membangunkan peralatan perlindungan gangguan elektromagnetik (EMI) yang terutamanya penting untuk teknologi 5G.

 

Menurut penganalisis di CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam, permintaan cip frekuensi radio (RF) yang kukuh menjelang pelancaran telefon pintar 5G generasi baharu pada separuh kedua tahun 2021 (2H21) dijangka menyumbangkan penggunaan yang tinggi untuk kesemua segmen perniagaan Inari bagi tempoh dua suku tahun akan datang.

 

Ini juga akan dipacu oleh permintaan produk optoelektronik Inari yang sedang pulih seperti sensor dan optocoupler, memasuki penyelesaian automotif dan perindustrian.

 

“Secara keseluruhannya, kumpulan menjangkakan jualan dan perolehan yang lebih kukuh di kesemua segmen perniagaannya pada tahun kewangan 2022 (FY22),” jelas Mohd Shanaz.

 

Kumpulan mendedahkan jualan yang lebih rendah dicatatkan pada suku keempat FY21 (4QFY21) bagi segmen RF adalah disebabkan oleh ketersediaan tenaga kerja, di mana dihadkan pada 60% kapasiti semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021.

 

Bagaimanapun, Mohd Shanaz berkata, segmen RF Inari mungkin mencatatkan prestasi lebih kukuh pada 1QFY22 yang disokong oleh tenaga kerja lebih tinggi, memandangkan Pulau Pinang telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 7 Julai 2021. 

 

Ini seterusnya membolehkan kumpulan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja lebih tinggi, iaitu pada kadar 80%.

 

“Dalam pada itu, pihak pengurusan kumpulan juga menekankan bahawa 90% daripada tenaga kerjanya di Malaysia telah lengkap suntikan dua dos vaksin COVID-19 seawal Ogos 2021.

 

“Kami menjangkakan sumbangan lebih tinggi daripada proses nilai tambahan seperti lapisan pelindung EMI untuk segmen RF pada FY22, diikuti oleh maklum balas baik daripada pelanggan Inari. Kumpulan menjangkakan peratusan lebih tinggi dalam cip RF yang melalui proses lapisan pelindung EMI pada FY22,” tambah Mohd Shanaz.

 

Bagi tahun kewangan semasa, Inari telah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM100 juta, terutamanya untuk tiga barisan pembungkusan sistem dalaman baharu, lapan sistem pelindung EMI dan peralatan pemprosesan wafer.

 

Dalam pada itu, kumpulan juga sedang mempersiapkan barisan perintis untuk memenuhi syarat pemasangan dan pengujian modul kuasa automotif untuk pelanggan AS yang baharu. 

 

CGS-CIMB menjangkakan ini bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu buat Inari di mana berpotensi menyumbang 15% kepada hasil kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang. - DagangNews.com