Permintaan produk industri berasaskan eksport diunjur terus meningkat disokong pasaran luar lebih kukuh | DagangNews Skip to main content

Permintaan produk industri berasaskan eksport diunjur terus meningkat disokong pasaran luar lebih kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Industri berasaskan eksport seperti produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, produk berasaskan petroleum serta pengeluaran barangan logam diunjur terus mendapat permintaan yang lebih baik didorong pasaran luar yang lebih kukuh.

 

RHB Investment berkata, aktiviti eksport mula mendapat momentum dengan penghantaran keluar yang lebih tinggi bagi barangan E&E selain produk berasaskan komoditi seperti yang digambarkan dalam data terkini.

 

Katanya, peningkatan indeks sentimen pembuatan baru-baru ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam sektor pelaburan.

 

"E&E dijangka dipacu oleh kitaran teknologi global dan permintaan yang lebih tinggi daripada rakan dagangan utama manakala sektor berasaskan komoditi seperti petroleum dan produk berasaskan petroleum, serta mineral dan produk logam dijangka mendapat keuntungan daripada harga komoditi yang lebih tinggi,” katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 4.3% pada Januari 2024, pertumbuhan tertinggi sejak Mei 2023 – DOSM

 

Terdahulu, indeks pengeluaran perindustrian (IPP) memulih kepada 4.3% tahun ke tahun pada Januari 2024 didorong oleh pengembangan dalam semua sektor, selepas merekodkan sedikit penurunan 0.03% pada Disember 2023.

 

Pertumbuhan tersebut adalah yang tertinggi dicatatkan sejak Mei 2023, ketika indeks itu naik kepada 4.7%.

 

Peningkatan IPP diterajui lonjakan 3.7% dalam sektor pembuatan berbanding penurunan 1.4% yang direkodkan sektor berkenaan pada bulan sebelumnya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, penggunaan domestik dan aktiviti pelaburan yang kukuh pada 2024 dijangka menyokong sektor pembuatan dengan pelaburan diunjur bertambah baik seperti ditunjukkan oleh import barangan modal yang lebih tinggi dan pembentukan modal.

 

"Peningkatan selanjutnya dalam aktiviti pelaburan dijangka daripada dasar mesra perniagaan dan insentif yang memberi tumpuan kepada sektor keutamaan seperti teknologi, pelancongan, pertanian serta yang mempunyai kapasiti eksport," katanya.

 

RHB Investment berkata, perbelanjaan pengguna dijangka kekal kukuh disokong keadaan pasaran tenaga kerja yang sihat.

 

"Pasaran eksport di Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada kesan limpahan positif kesan peningkatan prestasi perdagangan dan aktiviti pembuatan di China," katanya. - DagangNews.com