Permintaan sarung tangan getah diunjur meningkat 15% pada 2023, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Permintaan sarung tangan getah diunjur meningkat 15% pada 2023, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Kenanga Research mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023 selaras dengan unjuran Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma).

 

Firma itu berkata, Margma mengunjurkan pertumbuhan antara 12% hingga 15% dalam permintaan global untuk sarung tangan getah setiap tahun bermula 2023 selepas anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.

 

Dipercayai keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali dalam tempoh enam ke sembila bulan bagaimanapun firma itu menjangkakan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

 

"Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada tahun 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu yang akan datang sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

"Namun, kapasiti dilihat terus berkembang pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, keadaan itu tidak akan membantu mengurangkan keadaan lebihan kapasiti kerana kapasiti pengeluaran sarung tangan global akan berkembang sebanyak 16% kepada 595 bilion keping pada tahun ini kerana lebih banyak kapasiti baharu sedang dirancang.

 

Katanya, ia akan menyebabkan lebihan kapasiti meningkat sebanyak 22% kepada 137 bilion keping daripada 112 bilion keping pada 2022.

 

"Kapasiti berlebihan yang diperluaskan bermakna harga rendah dan penggunaan loji yang tertekan mungkin akan berterusan pada 2023," katanya.

 

Firma itu hampir meningkatkan unjuran kerugian Kossan Rubber Industries Berhad sebanyak tiga kali ganda kepada RM76 pada FY23 selepas mengurangkan andaian penggunaan kepada 35% berbanding 45%.

 

Selain itu, mereka juga mengurangkan andaian pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 1% daripada 5%. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 85 sen sesaham. - DagangNews.com