KUALA LUMPUR 8 Mei - Permintaan untuk jenama utama dalam industri automotif kekal kukuh dan ia adalah berdasarkan kepada tinjuan RHB Investment semasa Malaysia Autoshow 2023.
Firma itu berkata, berdasarkan tinjauan berkenaan, jenama Toyota, Honda, dan BMW menjadi tumpuan utama pengunjung yang hadir.
“Walaupun secara umumnya jualan menurun daripada separuh kedua 2022 dan suku pertama 2023, beberapa model popular masih mempunyai tempoh menunggu selama beberapa bulan.
"Jenama China membuat kehadiran mereka dirasai, apabila pengunjung mengerumuni model mereka yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Lawatan kami mengukuhkan tesis kami bahawa permintaan asas adalah kukuh, didorong oleh pelancaran baharu," kata firma itu dalam satu nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, orang ramai berminat terhadap kenderaan elektrik (EV) walaupun pasarannya masik belum berkembang sepenuhnya.
Katanya, sesetengah EV (cth BMW i4, XM, dan iX1 yang baru dilancarkan; Kia EV6; Mercedes EQS, EQE) berjaya menarik perhatian orang ramai manakala yang lain (seperti Volvo XC40, C40; Nissan Leaf EV) menarik minat sesetengah kumpulan.
"Kami mengetahui bahawa walaupun banyak EV di pasaran sedia ada, sesetengah EV mempunyai tempoh menunggu yang panjang/tidak pasti terutamanya kerana pengedar tidak dapat melihat bila mereka akan menerima unit import mereka.
"Perbincangan kami dengan kakitangan jualan mengesahkan bahawa pengguna pada umumnya lebih menyukai kereta petrol berbanding EV," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan UMW Holdings Berhad dan Bermaz Auto Berhad kekal sebagai pilihan utama. - DagangNews.com