Perniagaan perlu patuh SOP elak ekonomi ditutup | DagangNews Skip to main content

Perniagaan perlu patuh SOP elak ekonomi ditutup

Perniagaan. Gambar oleh The Malaysian Reserve

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Komuniti perniagaan digesa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan jumlah jangkitan COVID-19 sekali gus mengelakkan ekonomi negara ditutup.

 

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (Eurocham Malaysia), Oliver Roche berkata, komuniti perniagaan harus memandang serius terhadap laporan media mengenai kluster COVID-19 yang dikaitkan dengan kilang, tapak pembinaan dan kawasan tempat kerja lain.

 

"Apa yang penting, mereka (komuniti perniagaan) harus memainkan peranan mereka dengan melabur dalam bantuan sumber bagi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat untuk mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang akan mengakibatkan aktiviti ekonomi ditutup," jelas Eurocham Malaysia seperti dilapor Bernama semalam.

 

Eurocham Malaysia menjalankan tugas dan peranan sebagai pusat perhubungan utama bagi komuniti perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia.

 

Dewan perniagaan itu juga telah bekerja rapat dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak awal pandemik yang bermula pada tahun 2020 sehingga kini. 

 

Tambah Eurocham Malaysia, surat edaran tidak rasmi dalaman dihantar kepada semua ahli bagi menyampaikan intipati tidak rasmi dan usaha kerajaan Malaysia untuk menangani COVID-19.

 

Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk COVID-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif.

 

Surat yang telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak itu berkali-kali menyatakan peranan semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian pandemik.

 

"Penekanan MITI adalah merujuk kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang menuntut peranan semua bagaimanapun tidak disebut mengenai PKP sepenuhnya selepas 4 Februari, 2021.

 

"Sehubungan itu, kami berusaha supaya orang ramai kekal fokus, memainkan peranan bagi memastikan tidak berlaku PKP sepenuhnya sama seperti tahun lepas.

 

"Dalam masa yang mencabar ini, kami menghargai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia, khususnya MITI dan kami berpendapat kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam menangani pandemik itu sejak tahun 2020," jelasnya lagi. - DagangNews.com