Perolehan melebihi ramalan, CGS-CIMB naikkan TP V.S Industry | DagangNews Skip to main content

Perolehan melebihi ramalan, CGS-CIMB naikkan TP V.S Industry

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research meningkatkan harga sasaran (TP) V.S Industry Berhad (VSI) kepada RM1.58 sesaham selepas syarikat itu mencatatkan perolehan bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (9MFY21) melebihi sasaran pelbagai pakar.

 

Susulan itu, unjuran perolehan sesaham (EPS) VSI bagi FY21 hingga FY23 turut ditingkatkan selepas mengambil kira margin operasi dan campuran produk yang lebih baik untuk operasinya di Malaysia, menurut penganalisis di CGS-CIMB, Syazwan Aiman Sobri.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘tambah’ sahamnya dengan TP lebih tinggi sebanyak RM1.58, berdasarkan kecairan penuh bagi nisbah harga kepada perolehan (P/E) tahun 2022 sebanyak 19x, 1 sisihan piawai melebihi min 5-tahun. 

 

“Premium kepada min 5-tahun ini akan mengambil kira pertumbuhan hasil jangka panjangnya daripada pelanggan baharu dan potensi pelanggan baharu lain, di mana kami lihat sebagai pemangkin penarafan semula. 

 

“Risiko penurunan termasuk aliran tempahan yang sangat perlahan dari pelanggan utama dan kos operasi lebih tinggi daripada jangkaan,” jelas beliau dalam satu nota kajian.

 

VSI mencatatkan keuntungan bersih utama sebanyak RM72.8 juta bagi 3QFY21, berbanding kerugian bersih sebanyak RM20.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu susulan penutupan kilang lebih daripada sebulan. 

 

Walaupun tiga daripada kilangnya di Senai, Johor terpaksa ditutup sementara pada 11 hingga 17 Februari 2021 ekoran langkah sanitasi, namun hasil dan keuntungan bersih VSI bagi suku tahun semasa masing-masing melonjak 7.6% dan 11.1% berbanding 2QFY21.

 

Bagi Syazwan Aiman, ini menunjukkan terdapat permintaan tempahan yang tinggi daripada pelanggan utamanya selain campuran produk lebih baik, terutamanya operasi VSI di Malaysia.

 

“Walaupun VSI perlu mematuhi had 60% kapasiti susulan ‘lockdown’ seluruh negara bermula 1 Jun 2021, kami mendapati syarikat mampu mengoptimumkan pengeluarannya untuk mengurangkan sebarang penurunan ketara dari segi output pengeluaran. 

 

“Kami menjangkakan aliran tempahan akan kekal kukuh, khususnya dari pelanggan utama di Amerika Syarikat (AS), memandangkan kami difahamkan syarikat dijadualkan memulakan pengeluaran model produk baharu pada penghujung FY21 atau awal FY22,” tambah beliau lagi.

 

Setakat 10.23 pagi, harga saham VSI menokok 6 sen kepada RM1.46. - DagangNews.com