KUALA LUMPUR 21 Mei - Pertama Digital Bhd berkata pihaknya telah dibenarkan meneruskan operasi sistem pembayaran jaminan mahkamah digital yang dikenali sebagai e-Jamin oleh kerajaan.
Kelulusan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri di semua mahkamah yang berkenaan di Malaysia telah diterima pada Jumaat lepas, kata firma perkhidmatan digital itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
"Tidak akan ada kesan ketara ke atas operasi kumpulan serta aliran hasil," katanya.
Pada 16 Mei lalu, Pertama mendedahkan bahawa Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan pemberhentian sistem e-Jamin dan dikembalikan kepada proses ikat jamin konvensional mulai 19 Mei.
Syarikat itu juga diarah memindahkan semua dana jaminan dalam sistem itu kepada Kumpulan Wang Disatukan Perdana Menteri.
Berita itu menyaksikan saham Pertama jatuh ke paras terendah setahun pada RM2.19 pada dagangan awal pada Isnin.
Bagaimanapun, Pertama pada Khamis berkata ia sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan untuk terus menyediakan perkhidmatan itu.
Pertama menegaskan bahawa pemberhentian e-Jamin akan "ketara" menjejaskan operasi dan aliran pendapatannya memandangkan e-Jamin telah menjadi komponen penting dalam perniagaan syarikat sejak penubuhannya pada Januari 2020.
Pertama baru sahaja kembali ke tahap pemulihan pada suku keempat berakhir 31 Dis 2023 (4QFY2023) - selepas kerugian enam suku berturut-turut, mencatat untung bersih RM11,000, berbanding kerugian bersih RM39.98 juta setahun sebelumnya.
Hasil Pertama melonjak 40.59% kepada RM1.59 juta daripada RM1.13 juta, terutamanya didorong oleh e-Jamin. - DagangNews.com