Pertemuan Anwar, Erdogan bakal muktamadkan kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye | DagangNews Skip to main content

Pertemuan Anwar, Erdogan bakal muktamadkan kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye

Malaysia dikatakan masih berhasrat mendapatkan sistem SPH Yavuz 155mm untuk pemodenan Tentera Darat.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

SEJAK lima tahun lalu, Turkiye dilihat bersungguh-sungguh dalam menawarkan kerjasama pertahanan baharu dengan Malaysia khususnya membabitkan pembangunan industri berkaitan.

 

Walaupun bajet pertahanan negara ini tidak semewah beberapa jiran serantau, namun ia masih menyumbang nilai besar kepada pihak yang berjaya mendapatkan bahagian tersebut.

 

Pada satu aspek lain pula, tempoh masa yang panjang dalam memuktamadkan sesuatu perolehan pertahanan oleh kerajaan juga memberi risiko peluang kepada firma luar untuk melobi.

 

Sebagai pengimport kelima terbesar produk berasaskan minyak sawit Malaysia dengan nilai pada tahun 2021 sebanyak RM4.38 bilion, dagangan antara kedua-dua negara juga memainkan peranan penting.

 

Selain minyak sawit, Turkiye turut mengimport tiga komoditi pertanian Malaysia iaitu getah (RM1.29 bilion), koko (RM304.5 juta) dan kayu balak (RM8.43 juta).

 

Dron Anka S menjadi pilihan Malaysia.
Dron Anka S menjadi pilihan Malaysia sebagai aset pertahanan udara baharu.

 

Turkiye pernah terlepas peluang apabila tidak berjaya dalam usaha memenangi kontrak program pesawat tempur ringan dwifungsi LCA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Dalam tawaran tersebut, firma Turkish Aerospace (TAI) telah membuka pejabat di Cyberjaya dan melantik 50 orang jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global.

 

TAI turut berkolaborasi bersama dengan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) serta beberapa agensi berkaitan untuk membangunkan sistem avionik tersebut dan beberapa produk lain seperti dron.

 

Kegagalan ini terubat apabila Malaysia pada Mei lalu mengesahkan pembelian tiga dron Anka-S buatan Turkish Aerospace yang dimeterai pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi bernilai RM428 juta.

 

Perolehan ini juga telah membantu melonjakkan reputasi dron Anka dalam industri berkenaan yang ketika ini telah ditempah lima buah negara.

 

Ada

 

Turkiye menaruh harapan untuk mendapatkan kontrak LMS.
Korvet kelas Ada buatan Turkiye yang bersaing dalam program LMS batch kedua TLDM.

 

Bagaimana pun, Turkiye masih menaruh harapan besar untuk memenangi perolehan seterusnya apabila bersaing dalam tiga program pertahanan lain.

 

Antaranya ialah program kapal misi pesisir (LMS) batch kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), perolehan meriam mudah alih (SPH) dan program penggantian kenderaan perisai Radpanzer Condor.

 

Tiga program perolehan pertahanan ini menawarkan kontrak keseluruhan bernilai kira-kira RM9 bilion yang mana ia merupakan angka besar.

 

Daripada senarai tersebut, peluang paling hampir untuk Turkiye ialah bagi perolehan meriam SPH apabila proses untuk mendapatkan sistem persenjataan ini akan dilakukan.

 

Firma Turkiye,Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) pada Julai tahun lalu secara prinsipnya bakal diberikan kontrak membekalkan 18 laras meriam Yavuz 155mm.

 

Meriam Yavuz
Sistem SPH Yavuz 155mm 

 

Perolehan sistem artileri dari Turkiye itu dibatalkan pada 16 Januari lalu oleh Kementerian Kewangan atas dakwaan skandal melibatkan peruntukan sekitar RM854 juta.

 

Bagaimana pun, Kementerian Pertahanan pada April kemudian mengesahkan perolehan SPH untuk Tentera Darat tetap diteruskan cuma melalui proses penawaran baharu.

 

Dua hari selepas Bajet 2023 dibentangkan, Kementerian Pertahanan mengumumkan sebanyak 136 kenderaan jenis A 4x4 akan dibeli menerusi peruntukan itu.

 

Perolehan RM2.049 bilion ini juga turut melibatkan pelbagai kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.

 

Radpanzer Condor merupakan kenderaan jenis A 4x4 iaitu kenderaan tempur yang mampu bertahan daripada tembakan senjata kaliber tertentu.

 

Kenderaan perisai Pars 4x4 dan 6x6
Dua jenis kenderaan PARS yang mengintai peluang dalam program penggantian Radpanzer Condor.

 

Av8
Kenderaan tempur AV8 yang dibangunkan secara kerjasama antara industri pertahanan Malaysia dan Turkiye.

 

Sehingga kini belum ada sebarang maklumat atau perincian langsung berhubung apakah jenis kenderaan yang bakal dipilih ATM.

 

Perolehan dengan nilai terbesar ialah program LMS batch kedua TLDM melibatkan lapan buah kesemuanya dengan nilai RM6.6 bilion.

 

Kontrak pembinaan tiga buah kapal LMS kedua itu dijangka dimeterai pada tahun ini, manakala lima buah lagi kapal sama akan dibina pada Rancangan Malaysia ke-13.

 

Ketiga-tiga buah kapal LMS batch kedua TLDM itu dijangka dibina pada kos RM2 bilion.

 

Cumanya, persaingan untuk memenangi kontrak LMS ini dikatakan sengit dengan firma dari Korea Selatan, Belanda, Itali dan Emiriah Arab Bersatu juga bersaing.

 

Perjumpaan
Beberapa wakil industri maritim dan aeroangkasa Malaysia semasa mengadakan pertemuan dengan rakan industri di Turkiye pada Julai lalu.

 


Melihat pada keadaan ini memberi bayangan bahawa keputusan bagi projek LMS akan mengambil lebih banyak masa sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan.

 

Keadaan mungkin boleh berlaku sebaliknya kerana keputusan untuk memuktamadkan sesuatu perolehanan adalah ditentukan oleh kepimpinan tertinggi negara termasuklah mendapatkan lampu hijau daripada Kementerian Kewangan.

 

Justeru, kunjungan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan Erdogan ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menterjemahkan sesuatu.

 

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada bulan depan.

 

Ini bakal menjadi pertemuan rasmi kedua Anwar sebagai Perdana Menteri dengan Erdogan selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye bagi menzahirkan komitmen Malaysia membantu rakyat negara itu yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.


 

anwar
Anwar bersama Erdogan semasa bertemu di Ankara, Turkiye pada Februari lalu.

 


Kecuali Perdana Menteri kelapan, dua pemimpin negara telah mengadakan lawatan ke atas Erdogan juga untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama termasuk dalam bidang industri pertahanan.

 

Pada Julai 2019, Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan lawatan ke Turkiye sebelum Erdogan membalas lawatan tersebut pada Disember tahun yang sama.

 

Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula melawat Turkiye pada Julai lalu atas jemputan Erdogan yang mahu mengukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1964.

 

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Anwar juga mengesahkan akan berbincang mengenai perkara berkaitan kerjasama pertahanan.

 

Tambahnya, beliau kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara kedua-dua negara itu.

 

Berikutan itu, beliau bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan memorandum persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.

 

Adakah ini melibatkan program LMS, SPH, penggantian Radpanzer Condor atau mungkinkah tentang perolehan lain? Sebarang kemungkinan boleh berlaku. - DagangNews.com