Pertumbuhan hasil sektor perbankan diunjur susut pada suku kedua kesan kelemahan pendapatan bukan faedah - CGS International | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan hasil sektor perbankan diunjur susut pada suku kedua kesan kelemahan pendapatan bukan faedah - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - CGS International menjangkakan hasil bank bagi suku kedua tahun ini mencatatkan pertumbuhan antara 5% hingga 6% kesan daripada perkembangan pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih perlahan.

 

Katanya, jumlah untung bersih bagi suku akhir Jun 2024 mungkin mencecah RM8.6 bilion hingga RM8.7 bilion, lebih rendah sedikit daripada RM8.75 bilion dalam tiga bulan pertama tahun ini.

 

Untung bersih sektor itu meningkat 7.4% tahun ke tahun (y-o-y) pada suku pertama tahun ini.

 

"Pendapatan bukan faedah yang tinggi, yang dinaikkan oleh pendapatan pelaburan yang kukuh adalah tidak mampan," kata dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Katanya, kemungkinan berlaku penurunan dari suku tahun ke suku tahun dalam pendapatan bukan faedah, bagaimanapun, sebahagiannya boleh diimbangi pengembangan berterusan dalam pendapatan faedah bersih.

 

Bagaimanapun, CGS International mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan dan menyatakan potensi pemangkin penarafan semula daripada penghapusan tindanan pengurusan, peningkatan dalam nisbah pembayaran dividen, dan prospek yang lebih baik untuk margin faedah bersih.

 

Daripada sembilan bank di bawah liputan firma penyelidikan itu, Hong Leong Bank Bhd, CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd merupakan pilihan utamanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur harus berhati-hati terhadap potensi risiko penurunan, termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan yang boleh meningkatkan peruntukan kerugian pinjaman dan mengurangkan pertumbuhan pinjaman. 

 

Katanya, inflasi yang berleluasa dan kadar faedah yang lebih tinggi boleh menjejaskan pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset, katanya.

 

"Pendapatan bukan faedah mungkin akan berkembang hanya "pertengahan satu digit" pada suku kedua tahun ini, menamatkan rentetan pertumbuhan dua digit enam suku manakalan pendapatan yuran, yang meningkat hampir 15% pada suku pertama berkemungkinan kekal mampan," katanya.

 

Pendapatan faedah bersih mungkin berkembang dengan antara 3% hingga 4% pada srku kedua , hasil daripada pertumbuhan pinjaman, manakala margin faedah bersih mungkin kekal stabil atau bertambah baik sedikit.

 

Dari segi kos, overhed akan meningkat sebanyak 6% hingga 7% tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, manakala peruntukan akan kekal pada RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion, berbanding RM1.34 bilion pada suku kedua tahun lalu.- DagangNews.com