KUALA LUMPUR 28 Mei - RHB Investment menjangkakan pertumbuhan pinjaman AMMB Holdings Bhd mencatatkan perkembangan lebih baik pada FY25 didorong pelaksanaan lebih banyak projek infrastruktur.
Katanya, pada FY24, pertumbuhan pinjaman adalah sederhana pada 3% dari tahun ke tahun dengan sedikit peningkatan sebanyak 2% suku tahun ke ke suku tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan yang lemah ini disebabkan pembayaran balik yang ketara daripada pelanggan korporat.
"Menjelang FY25, pengurusan menyasarkan kadar pertumbuhan pinjaman antara 1 hingga 1.5 kali ganda Keluaran Dalam Negara Malaysia (KDNK) yang akan diterjemahkan kepada pertumbuhan satu digit pertengahan.
"Kumpulan itu menjangkakan pencapaian yang lebih baik, terutamanya dalam pinjaman yang berkaitan dengan projek infrastruktur. Pinjaman ini dijangka dikeluarkan secara beransur-ansur semasa projek berjalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih FY24 AmBank meningkat 9.4% kepada RM1.87 bilion didorong pertumbuhan kukuh NOII
RHB Investment berkata, selepas margin faedah bersih (NIM) mampat sebanyak 28bps dari tahun ke tahun, kumpulan telah mengenal pasti beberapa inisiatif untuk menurunkan kos dana (CoF) pada FY25.
Katanya, usaha itu termasuk meningkatkan usaha pengumpulan akaun simpanan akaun semasa (CASA) (terutamanya CASA korporat), berjalan pada nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) yang lebih ketat (sehingga 96% daripada 94% pada akhir Mac 2024), dan mempelbagaikan sumber pembiayaannya.
"Kami mendapatai bahawa usaha ini telah memberi kesan serta-merta kepada NIM kerana pengurusan melaporkan bahawa CoF pada April tahun ini menyaksikan peningkatan daripada tahap 4QFY24.," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kumpulan meningkat 7bps dari suku tahun ke suku tahun kepada 1.67%, sebahagian besarnya disebabkan oleh satu akaun korporat memasuki status terjejas - ini telah ditetapkan selepas tempoh penutupan.
"Walaupun GIL isi rumah juga meningkat, kumpulan itu kekal selamat dengan kedudukannya kerana ia telah membina penampan peruntukan untuk buku runcit pada suku sebelumnya," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.90 sesaham. - DagangNews.com