Pertumbuhan Rexit diunjur stabil bagi FY23 hingga FY25 - TA Research | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan Rexit diunjur stabil bagi FY23 hingga FY25 - TA Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - TA Research mengunjurkan Rexit Berhad mengekalkan trajektori pertumbuhan yang stabil antara FY23 hingga FY25.

 

Firma itu juga menjangkakan, hasil serta untung bersih teras kumpulan itu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 2% serta 3.3% kepada RM26.4 juta dan RM10.4 juta pada FY25.

 

Pertumbuhan kumpulan itu akan disokong oleh peningkatan penggunaan e-Cover daripada pelanggan sedia ada dan baharu di sebalik liputan kelas insurans yang diperluas dan peningkatan penyelesaian serta perkhidmatan.

 

"Pertumbuhan satu digit mencerminkan industri insurans am Malaysia, dengan jumlah premium langsung kasar berkembang pada CAGR 10 tahun sebanyak 2.7% kepada RM17.7 bilion pada 2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.4 juta bagi 1QFY23 dan ia berada di dalam unjuran firma itu pada tahap 25.6%. 

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.0sen yang pada paras semasa saham membayangkan hasil sebanyak 5.4%.

 

Keuntungan bersih 1QFY23 turun 7.5% kepada RM2.4juta walaupun hasil yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh pendapatan lain yang lebih rendah, perbelanjaan pentadbiran dan cukai yang lebih tinggi.

 

Hasil meningkat 7.0% kepada RM6.5 juta disebabkan terutamanya oleh perkhidmatan penyesuaian perisian yang lebih tinggi.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 84 sen sesaham.

 

"Kumpulan itu memiliki asas yang kukuh selain model perniagaan yang berdaya tahan serta pendedahan kepada sektor insurans.

 

"Kami berpendapat bahawa saham itu akan menarik minat pelabur yang mencari strategi pelaburan defensif ketika berdepan tekanan ekonomi makro," katanya. - DagangNews.com