Pertumbuhan sektor hartanah terus berdepan cabaran | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan sektor hartanah terus berdepan cabaran

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. -  Sektor hartanah dijangka kekal mencabar dengan isu-isu seperti kemampuan, dasar-dasar dan lebihan penawaran.

 

Kenanga Investment Bank Berhad dalam nota penyelidikannya berkata, walaupun penilaian sektor tersebut rendah, pertumbuhan pendapatan yang mapan dalam keseluruhan sektor masih juga dilihat masih kurang untuk penilaian semula dilakukan.

 

Katanya, walaupun jumlah jualan yang dilaporkan pemaju sehingga kini adalah memberangsangkan, cabaran utama sektor berkenaan adalah pada tahun kewangan 2022 apabila diskaun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) ditamatkan.

 

"Kecuali HOC dilanjutkan lagi, duti setem yang ketika ini dikecualikan akan dikenakan semula, bagi hartanah bernilai RM300,00 hingga RM1 juta, ia akan mengakibatkan kos tambahan sebanyak 2.1% hingga 2.9% iaitu sekitar RM6,350 hingga RM28,500).

 

"Jika mengikut trend penjualan kereta yang bermula dengan ketara selepas cuti cukai GST pada Jun 2018 hingga Ogos 2018, kami berpendapat bahawa kebanyakan pembeli rumah kemungkinan akan merebut peluang untuk membeli hartanah pada akhir tahun dan penjualan harta tanah kemungkinan akan berakhir tahun depan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, disebalik pelaksanaan kawalan pergerakan penuh pada Jun, pemaju perumahan masih boleh mencapai sasaran jualan yang ditetapkan pada awal tahun kecuali MRCB Bhd.

 

"Malah, Ecoworld dan Sunway berjaya melepasi sasaran awal jualan dengan Ecoworld mencatatkan jualan kukuh sebanyal RM3.1 bilion sehingga 10 bulan pertama tahun kewangan 2022 disumbangkan oleh aktiviti promosi dalam talian yang giat dijalankan.

 

"Sunway juga mencatat jualan kukuh sebanyak RM1.6 bilion bagi suku pertama dipacu oleh tiga projek di Singapura dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM2.5 bilion," katanya.

 

Sementara itu Kenanga juga berkata UEM Sunrise, Mah SIng, UOA Development dan Sunway mungkin mengalami kesukaran untuk menjual unit bertingkatnya di Kuala Lumpur dan Selangor didorong oleh persaingan yang semakin meningkat dari unit tidak terjual serta pelancaran projek baharu.

 

"Kami percaya untuk mendorong penjualan, margin pembangunan harus dikorbankan sama ada melalui diskaun yang lebih tinggi atau melalui produk yang lebih baik," katanya. -DagangNews.com