Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Julai - Peruncit barangan rumah terbesar di Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Berhad mungkin sensitif terhadap sebarang perubahan dasar eksport domestik China sekali gus mendatangkan risiko buat kumpulan.
Ini susulan China merupakan sumber pengimportan utama buat kumpulan yang menyumbang 72% daripada jumlah keseluruhan importnya, menurut penganalisis di Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli.
“Tarikan utama dalam berurusan dengan China adalah nilai cadangan produk mereka, yang didorong oleh skala ekonomi besar. MR D.I.Y. juga berurusan dengan penyedia perkhidmatan pengurusan muatan China untuk mengumpul dan menyelaraskan pembelian import dari pembekal akhir mereka di China.
“Walaupun ini menunjukkan dominasi hanya satu negara import, namun kumpulan berurusan dengan hampir 800 pembekal dari dalam dan luar negara dengan pembekal akhir terbesarnya menyumbang hanya kira-kira kurang 5% daripada jumlah pembelian,” jelas Ahmad Ramzani dalam satu nota kajian.
Kenanga memulakan liputan ke atas MR D.I.Y. dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM4.10 sesaham.
Firma penyelidikan itu positif terhadap MR D.I.Y. yang menunjukkan pertumbuhan kukuh dipacu oleh permintaan pasaran yang semakin meningkat seiring penyebaran urbanisasi dan pengembangan kedai-kedainya serta margin keuntungan kasar kumpulan yang kukuh melebihi 40%.
Setakat 2019, kumpulan memegang sekitar 29% penguasaan pasaran dengan 783 rangkaian kedai di Malaysia.
Di sebalik prospek yang cerah, MR D.I.Y. juga tidak terkecuali daripada risiko buruh asing berdasarkan dasar kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta sempadan negara yang masih ditutup ketika ini.
Menurut Ahmad Ramzani lagi, MR D.I.Y. menyaksikan 13% atau 1,530 daripada jumlah pekerjanya merupakan buruh asing yang kebanyakannya ditempatkan di gudang-gudang kumpulan.
“Walaupun terdapat perancangan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dengan menjadikan gudang-gudang lebih automatik, namun kami melihat bahawa terdapat beban kerja tertentu yang memerlukan buruh manual di mana lebih sesuai digalas oleh pekerja asing,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Ramzani berkata, MR D.I.Y. terdedah kepada risiko turun dan naik mata wang asing terutamanya ringgit berbanding Renminbi kerana kebanyakan produk-produknya diimport.
Memandangkan kadar ringgit ketika ini kurang memberangsangkan, Ahmad Ramzani melihat kos muatan sedikit demi sedikit ‘memakan’ margin dan kumpulan mungkin terpaksa meletakkan beban peningkatan kos ini ke atas pelanggan.
Sekatan perjalanan yang berpanjangan juga akan memberi impak kepada kehadiran pelanggan ke kedai MR D.I.Y. dan seterusnya mempengaruhi jumlah transaksi kumpulan, ujar Ahmad Ramzani.
Setakat 12.30 tengah hari, harga saham MR D.I.Y. menyusut 15 sen atau 4.31% kepada RM3.33. - DagangNews.com