Perubahan dasar pemberian subsidi, kawalan harga pengaruhi kadar inflasi 2024 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Perubahan dasar pemberian subsidi, kawalan harga pengaruhi kadar inflasi 2024 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kadar inflasi dijangka kekal sederhana pada tahun ini tetapi dipengaruhi perubahan dalam dasar domestik mengenai pemberian subsidi dan kawalan harga, harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, julat inflasi pada tahun ini dijangka berada antara  2.1% hingga 3.6%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ekonomi Malaysia diunjur lebih kukuh pada 2024 berikutan pemulihan eksport, kehadiran pelancong yang lebih tinggi dan permintaan domestik yang berdaya tahan.

 

Katanya, keadaan itu disokong pertumbuhan pekerjaan dan perbelanjaan pengguna serta kemajuan dalam projek infrastruktur sedia ada dan baharu selain pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk yang diumumkan pada suku ketiga 2023 seperti Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 yang menyokong aktiviti pelaburan.

 

"Prospek ekonomi domestik dilihat seimbang antara kelemahan permintaan luar dan keluaran komoditi dan peningkatan daripada limpahan pemulihan sektor elektrik dan elektronik (E&E), aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan inisiatif pelan induk yang lebih pantas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus

 

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini, mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3%.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan selaras dengan penilaian semasa inflasi dan prospek pertumbuhan.

 

Maybank IB berkata, BNM menegaskan bahawa kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini adalah disebabkan faktor luaran dan bukannya melibatkan prospek ekonomu domestik semasa.

 

Katanya, bank pusat itu juga mengulangi bahawa ia akan memastikan kecairan yang mencukupi untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur memandangkan ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran kewangan dan pertukaran asing global.

 

"Bagaimanapun, kami menganggarkan OPR kekal pada paras 3% sepanjang 2024 memandangkan ramalan semasa kami terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 4.4% dan kadar inflasi sekitar 3%," katanya. - DagangNews.com