KUALA LUMPUR 15 Mei - RHB Investment menjangkakan perubahan beransur-ansur dalam dinamik pasaran yang akan memberikan kesan positif kepada pengeluar sarung tangan seperti Top Glove Corporation Berhad.
Firma itu berkata, inventori pelanggan dijangka berkurangan pada penghujung separuh pertama 2023 dan mereka menjangkakan pesanan akan mula stabil ketika memasuki separuh kedua tahun ini.
"Purata harga jualan (ASP) sarung tangan dikatakan kembali stabil pada AS$20/1,000 keping, sejajar dengan jangkaan kami bahawa ASP mungkin berada di tahap terendah.
"Secara positifnya, pembuat sarung tangan tempatan dan serantau telah secara kolektif meningkatkan ASP sejak awal tahun 2023, jurang harga antara pembuat sarung tangan Cina dan tempatan telah mengecil kepada AS$3 daripada AS$5 sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, eksport sarung tangan Malaysia meningkat semula 8% dan 10% dari bulan ke bulan pada Februari dan Mac.
Katanya, ia merupakan kenaikan bulan kebulan kedua berturut-turut berikutan penurunan 14% pada bulan Januari, yang menunjukkan permintaan sarung tangan semakin mendapat daya tarikan.
Firma memahami bahawa bahawa pelanggan masih enggan membuat pesanan secara besar-besaran dan pesanan awal juga telah dipendekkan kepada satu bulan daripada tiga bulan sebelum COVID-19.
"Pemain industri menjangkakan rasionalisasi inventori pelanggan akan berlaku menjelang separuh kedua 2023 disokong oleh tahap inventori sarung tangan yang telah dibina sejak 2020, yang semakin menghampiri tarikh luputnya (jangka hayat biasa: 3-5 tahun).
"Oleh itu, kami mengekalkan sasaran permintaan akhir tahun 2023 kami pada 415 bilion keping, mewakili 4% pertumbuhan tahun ke tahun daripada angka 2022," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Top Glove dengan harga sasaran (TP) 98 sen sesaham. - DagangNews.com