Perubahan kerajaan mungkin faktor menarik semula pembelian ekuiti oleh pelabur asing - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Perubahan kerajaan mungkin faktor menarik semula pembelian ekuiti oleh pelabur asing - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH ABD MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Penganalisis tidak menolak kemungkinan perubahan kerajaan yang mungkin dianggap telah ‘mengembalikan kestabilan politik’ negara, sebahagiannya telah menarik semula aliran asing ke ekuiti tempatan. 

 

Kata penganalisis di Kenanga Research, Koh Huat Soon, kembalinya pemerintahan politik yang biasa disaksikan sebelum ini telah mengubah landskap pelaburan domestik.

 

“Gabungan pemerintahan di bawah kepimpinan sekarang mungkin mempunyai sokongan daripada akar umbi, dan pengambilalihan ini tepat pada masanya memandangkan tempoh penularan pandemik yang terburuk mungkin telah berlalu.

 

“Mungkin disebabkan faktor kestabilan yang muncul semula inilah telah menarik minat pelabur asing ke ekuiti tempatan, seiring pemulihan dalam harga komoditi,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Berdasarkan nota penyelidikan aliran dana oleh MIDF Research, pasaran tempatan telah menyaksikan pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bagi minggu lalu yang berakhir 24 September, dengan aliran masuk mencecah RM15.85 juta.

 

Ini merupakan minggu ketujuh berturut-turut FBM KLCI menyaksikan pembelian bersih oleh kategori pelabur tersebut.

 

Tambah Huat Soon, perkembangan itu juga dijangka mampu menyumbang kepada prestasi pasaran ekuiti Malaysia untuk terus mengukuh walaupun berdepan risiko semakan semula kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

 

Beliau menyifatkan, “persekitaran politik yang lebih stabil telah muncul dengan gabungan pemerintah di bawah Perdana Menteri baharu dilihat meraih penerimaan yang lebih besar daripada pihak pembangkang berbanding dengan pemerintah sebelumnya.”

 

Beliau percaya keyakinan pasaran akan kembali memandangkan momentum pembukaan semula sempadan dan ekonomi kian meningkat pada suku keempat 2021 (4Q21). 

 

Melihatkan kes COVID-19 yang kian menurun dengan ekonomi perlahan-lahan dibuka semula, Huat Soon menjangkakan saham Fraser & Neave Holdings Berhad, Genting Berhad dan GHL Systems Berhad akan menjadi benefisiari utama di bawah kategori saham pengguna.

 

Perbelanjaan pelancongan akan memulih dipacu oleh perjalanan rentas negeri dan sempadan antarabangsa yang akan melihat transaksi e-pembayaran fizikal berlaku pantas di mana dapat memberi manfaat kepada GHL, katanya. 

 

Kenanga meletakkan sasaran akhir tahun 2021 bagi FBM KLCI pada paras 1,611 mata. - DagangNews.com