Peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion dalam Bajet 2023 beri manfaat kepada berjuta rakyat - MoF | DagangNews Skip to main content

Peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion dalam Bajet 2023 beri manfaat kepada berjuta rakyat - MoF

KUALA LUMPUR 12 Okt - Peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion dalam Bajet 2023 bukan untuk 'kontraktor atau golongan kaya' sebaliknya untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan juga kesalinghubungan negara yang bakal memanfaatkan berjuta-juta rakyat.

 

Kementerian Kewangan berkata, ia juga akan memberi manfaat kepada  perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sistem vendor kontraktor utama serta pelbagai sektor ekonomi daripada pelbagai lapisan Keluarga Malaysia

 

Katanya, Bajet 2023 memperuntukkan sebanyak RM16.5 bilion bagi pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link (RTS Link) dan Central Spine Road (Sektor pengangkutan).

 

"RTS bakal mencipta 1,500 peluang pekerjaan dan bakal dimanfaatkan oleh 40,000 penumpang sehari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengenai ECRL, kementerian itu berkata, projek itu dijangka mencipta lebih 88,000 peluang pekerjaan dan setiap RM1 yang dibelanjakan bakal menjana impak ekonomi yang dianggarkan sebanyak RM2.80 atau 280 peratus berbanding pelaburan. 

 

"Ia akan memanfaatkan hampir 39% rakyat Malaysia yang tinggal di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor," katanya.

 

Mengenai peruntukan RM11.7 bilion untuk Sabah dan Sarawak untuk pelaksanaan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan, kementerian itu berkata, ia ditumpukan untuk meningkatkan kualiti hidup 5.86 juta rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya penduduk  luar bandar yang akan digunakan termasuk bagi membaik pulih sekolah daif dan jalan luar bandar.

 

bajet

 

Bagi peruntukan RM11.4 bilion untuk pembaikan dan penyelenggaraan aset, termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan, ia berkata, peruntukan tersebut akan memanfaatkan 32 juta rakyat Malaysia dan membantu rakyat dalam memastikan kemudahan awam dalam keadaan baik dan selamat.

 

Manakala peruntukan RM3.3 bilion untuk projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dijangka mencipta 600,000 pekerjaan, dan ia melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur untuk kemudahan rakyat yang menggunakan pengangkutan awam.

 

Kementerian itu berkata peruntukan sebanyak RM2.55 bilion untuk kemudahan infrastruktur rakyat luar bandar dan pedalaman dijangka dapat memanfaatkan 110,000 penduduk antaranya dari Kampung Orang Asli; memberi bekalan elektrik luar bandar untuk 2,100 buah rumah atau 6,300 penduduk dan memberi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif bagi 4,800 buah rumah atau 14,400 penduduk di kawasan pedalaman.

 

Peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk memasang 6,800 unit lampu baharu di jalan kampung dan untuk kos penyelenggaraan, serta membina 85 jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat.

 

Bagi peruntukan RM1.4 bilion untuk lima Wilayah Koridor utama negara, Kementerian Kewangan  berkata antara projek yang akan dilaksanakan termasuk Projek Ladang Tenusu (Perlis), Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor, dan Program Pembangunan Modal Insan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan prestasi akademik anak-anak golongan B40.

 

Peruntukan sebanyak RM3.7 bilion untuk projek  kecil dan sederhana dianggar akan memanfaatkan 5,000 kontraktor Kelas G1- G4 (kontraktor kecil) manakala peruntukan sebanyak RM700 million untuk projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 akan memanfaatkan 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

 

"Jelas sekali, penerima manfaat terbesar bagi projek-projek pembangunan di atas adalah rakyat serta pelbagai saiz perniagaan dan PKS," katanya. - DagangNews.com