Peruntukan RM9.4 bilion Belanjawan 2021 rapatkan jurang digital - SKMM | DagangNews Skip to main content

Peruntukan RM9.4 bilion Belanjawan 2021 rapatkan jurang digital - SKMM

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Peruntukan sebanyak RM9.4 bilion di bawah Belanjawan 2021 bagi membangunkan strategi digital negara merentasi pelbagai sektor dan masyarakat dilihat mampu merapatkan jurang digital secara holistik. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, peruntukan itu dapat membantu menyediakan infrastruktur yang lebih baik menerusi Program Jaringan Prihatin dan Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela). 

Menurut agensi itu, Program Jaringan Prihatin sebanyak RM1.5 bilion akan memberi manfaat kepada 8 juta pengguna dalam kelompok B40. 

Katanya, ia dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi mereka untuk mendapatkan perkhidmatan internet. 

"Di bawah program ini, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM180 untuk perbelanjaan bagi langganan internet atau menampung sebahagian kos untuk telefon mudah alih baharu. 

"Ini akan disokong oleh sumbangan industri sebanyak RM1.5 bilion untuk kumpulan sasaran yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menerusi Jendela pula, katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta pada 2021 bagi memastikan ketersambungan 430 di seluruh negara demi pembangunan generasi baharu. 

SKMM berkata, sebanyak RM42 juta turut diperuntukkan bagi menambah baik ketersambungan internet melibatkan 25 kawasan perindustrian bagi menarik pelaburan di bawah pelan yang sama. 

"SKMM juga memperuntukkan sebanyak RM7.4 bilion pada 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar," jelasnya. 

Menurut SKMM, fasa pertama Jendela telah bermula dan akan diteruskan sehingga akhir 2022 untuk memberi fokus kepada usaha memperluaskan akses kabel jalur lebar dengan kelajuan sehingga 1 gigabit kepada 7.5 juta premis.  

Fasa ini akan memberi keutamaan kepada liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% dalam kawasan populasi termasuk menaik taraf kelajuan mudah alih daripada 25Mpbs kepada 35Mbps. 

"Fasa pertama Jendela juga akan menamatkan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 sebagai usaha bagi memperkukuhkan rangkaian 4G dan melonjakkan rangkaian asas untuk 5G," katanya. - DagangNews.com