Pesona Metro raih kontrak RM411 juta bina dua pangsapuri di Bukit Jalil | DagangNews Skip to main content

Pesona Metro raih kontrak RM411 juta bina dua pangsapuri di Bukit Jalil

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Mei - Pesona Metro Holdings Bhd memperoleh kontrak RM410.5 juta untuk melaksanakan pembinaan dua blok pangsapuri 52 tingkat di Bukit Jalil.

 

Menurut Pesona Metro, kontrak itu dianugerahkan oleh Gaya Kuasa Sdn Bhd, yang dimiliki 68% oleh Chin May Yong, yang merupakan isteri kepada pemegang saham utama dan pengarah bukan eksekutif Pesona, Wie Hock Kiong.

 

 

Wie Hock Kiong
       Wie Hock Kiong

 

 

Chin juga berkhidmat sebagai pengarah di pemegang saham utama Pesona Kombinasi Emas Sdn Bhd.

 

Pemerolehan kontrak baharu itu, dengan nilai jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran Pesona sebanyak RM128.57 juta, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dan meningkatkan aset bersihnya dalam tempoh tersebut, kata kumpulan itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Pembinaan itu, yang akan disiapkan dalam tempoh 31 bulan mulai 1 Jun, meliputi kerja-kerja bangunan utama, serta kerja mekanikal dan elektrikal, kerja luar dalam sempadan lot, landskap dan kerja sampingan untuk 1,260 unit pangsapuri.

 

Kumpulan itu berkata ia bakal mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya pada mesyuarat agung luar biasa akan datang untuk urus niaga berulang pihak berkaitan yang bersifat hasil atau perdagangan.

 

 

Wie Hock Beng
        Wie Hock Beng

 


Hock Kiong dan abangnya Wie Hock Beng, yang merupakan pemegang saham utama dan pengarah urusan Pesona, akan mengelak daripada mengundi kerana hubungan mereka dalam transaksi itu.

 

Saham dalam Pesona menokok setengah sen atau 2.78% pada 18.5 sen pada Isnin, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM128.57 juta. - DagangNews.com