Pesona Metro rancang terbit program sukuk wakalah RM185 juta | DagangNews Skip to main content

Pesona Metro rancang terbit program sukuk wakalah RM185 juta

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pesona Metro Holdings Bhd telah membuat penyerahan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi penubuhan program sukuk wakalah sehingga RM185 juta, berdasarkan prinsip syariah 'Wakalah Bi Al-Istithmar'.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, SEP Resources (M) Sdn Bhd membuat penyerahan dengan SC, semalam.

 

"Terbitan Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN itu mempunyai tempoh sehingga 12 tahun dari tarikh terbitan,” katanya.

 

Katanya, terbitan sukuk Wakalah itu mematuhi Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) SC di bawah Garis Panduan Rangka Kerja dan Rangka Kerja Pelancaran.

 

Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN akan dijamin dengan senarai sekuriti, termasuk jaminan korporat daripada Pan Malaysia Holdings Bhd dan telah diberi penarafan jangka panjang AA1 (dengan tinjauan yang stabil) oleh RAM Rating Services Bhd.

 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dan Public Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama, pengatur utama dan pengurus utama bagi Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN. - DagangNews.com