Pesta Kerjaya Maya ACCA 2021: platform ideal memikirkan semula kerjaya semasa pandemik | DagangNews Skip to main content

Pesta Kerjaya Maya ACCA 2021: platform ideal memikirkan semula kerjaya semasa pandemik

KUALA LUMPUR 12 Julai - Pandemik COVID-19 tidak hanya membuatkan ekonomi tergendala, malah dalam tempoh 18 bulan ini, ia menjadikan peranan dan fungsi profesional perakaunan serta kewangan semakin penting, seperti yang didedahkan menerusi soal selidik global, Finance Functions: Seizing the Opportunity* oleh ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun) dan PwC (PricewaterhouseCoopers).

 

Soal selidik berkenaan, yang mengumpul lebih 3,000 maklum balas daripada profesional perakaunan dan kewangan di seluruh dunia, menunjukkan responden dari Asia Tenggara menekankan perubahan pesat dalam empat bidang yang sangat penting untuk bertahan dalam krisis ekonomi ini. Empat bidang berkenaan adalah kerelevanan; data dan teknologi; kemahiran dan kerjaya serta; inovasi dan kolaborasi.

 

Memandangkan pasukan kewangan telah mengambil langkah mendepani cabaran dan membuktikan kerelevanannya, kini mereka harus merebut peluang bagi memacu perubahan dalam empat bidang kritikal berkenaan yang boleh menjadikan peranan mereka lebih relevan  untuk masa hadapan.

 

Pengarah ACCA ASEAN ANZ, Pulkit Abrol berkata, fungsi kewangan berada pada tahap yang kritikal pada waktu ini. Sejak bermulanya pandemik, pemimpin kewangan telah memainkan peranan penting dalam membantu organisasi bertahan dan dalam sesetengah kes, berkembang maju.

 

Katanya, daripada pengurusan aliran tunai yang lebih baik hinggalah menyokong isu  isu rantaian bekalan dan menangani kesan kepada produktiviti, sumbangan pasukan kewangan semasa krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini sangat dihargai oleh lembaga pengarah, kepemimpinan eksekutif dan pihak berkepentingan luaran.

 

“Persoalan sekarang untuk pasukan kewangan ini ialah - apa seterusnya? Bagaimana fungsi kewangan, terutamanya di Asia Tenggara, memanfaatkan kerelevanannya dan kesan daripadanya yang lebih besar? Bagaimana mereka boleh merebut lebih banyak peluang untuk menunjukkan nilainya kepada organisasi?,” tambahnya.

 

Dalam menunjukkan nilai fungsi kewangan kepada organisasi, peluang utama yang dikenalpasti melalui laporan untuk profesional kewangan Asia Tenggara adalah memperluaskan teras transformasi digital; membina kepercayaan dan etika yang baik; mengasah kemahiran, pemikiran dan tingkah laku yang diperlukan untuk memainkan peranan ‘penghubung-super’ menegak dan melintang di dalam organisasi dan; menangani keperluan kelestarian seperti darurat iklim, kesan daripada dan ke atas sumber semulajadi serta isu-isu ketidaksaksamaan sosial.

 

Melihat kepada kepantasan perkembangan profesional perakaunan dan kewangan ketika pandemik COVID-19 ini, Pesta Kerjaya Maya ACCA 2021 (VCF 2021), yang akan berlangsung pada Khamis, 15 Julai 2021, adalah masa yang tepat untuk memikirkan semula mengenai kerjaya.

 

Mengenai VCF 2021, Ketua Portfolio Maritim Asia Tenggara di ACCA, Edward Ling berkata, berdasarkan kejayaan tahun lalu, pihaknya tahu bahawa ia amat penting untuk terus menyokong usaha pengambilan pekerjaan semasa pandemik melalui platform maya.

 

Beliau berkata, memanfaatkan pendigitalan dalam keadaan tidak menentu yang berterusan ini, Pesta Kerjaya Maya ACCA 2021 akan diadakan secara lebih besar dan lebih baik supaya pencari pekerjaan pertama dan juga profesional kewangan dan perakaunan berpeluang untuk berkembang serta meningkatkan kerjaya di samping memberikan organisasi akses kepada bakat-bakat yang boleh membuat sumbangan signifikan dalam membantu syarikat mencari jalan keluar daripada kemelut pandemik dan terus maju.

 

“Terdapat ribuan kekosongan jawatan di acara kami ini, dengan beberapa syarikat terkemuka Malaysia dan dunia daripada industri perkhidmatan kewangan, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, farmaseutikal, elektronik, logistik dan pengangkutan yang mahu merekrut bakat bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga merentas ASEAN, Australia dan New Zealand.

 

"Antara majikan yang mengambil bahagian adalah Maybank, Khazanah Nasional Berhad, PETRONAS, Intel Microelectronics, KPJ Healthcare Berhad, Samsung Malaysia Electronics, DHL Asia Pacific Shared Services, Grab, firma audit the Big Four, dan banyak lagi.”

 

“Organisasi dan syarikat ini mempunyai kekosongan jawatan daripada peringkat kemasukan hinggalah ke pengurusan kanan. Anda boleh menjangkakan peluang pekerjaan daripada pelatih perakaunan kepada penganalisis kewangan, dalam banyak bidang daripada audit dan pematuhan kepada perbendaharaan dan percukaian,” katanya.

 

Untuk peranan yang lebih senior, ACCA menyusun temubual masa nyata, siri webinar peningkatan kerjaya secara langsung atau rakaman dari pemimpin perniagaan terkenal dan, peluang bertemu dengan rakan sebaya di ruang maya.

 

Untuk peserta peringkat kemasukan, CV Writers yang berpangkalan di UK turut tersedia bagi memberikan khidmat reviu CV dan bimbingan temubual, selain panggilan video dan perbualan langsung dengan bakal majikan.

 

Malah, Gen Z juga boleh mendapatkan bantuan lanjut dari sumber maya ACCA yang luas di https://www.accaglobal.com/gb/en/cam/rethinking-careers.html, yang tersedia untuk mereka pada bila-bila masa, di mana sahaja.

 

Ketua Polisi dan Teknikal di ACCA Malaysia, Aaron Saw berkata, walaupun menginginkan peningkatan dalam kerjaya mereka, graduan baru dan profesional muda berdepan dengan cabaran dalam tempoh ini, di mana peluang pekerjaan sukar diperoleh, terutama bagi mereka yang kurang pengalaman dan pengetahuan.

 

"Inilah sebabnya mengapa kami mengadakan acara ini, kerana kami percaya sangat penting untuk menyokong dan membimbing mereka.

 

"Daripada laporan bersama yang disediakan dengan Persekutuan Akauntan Antarabangsa, The Groundbreakers: Gen Z and the Future of Accountancy, kami mendapati bahawa sebahagian besar Gen Z (89%) bercita-cita untuk maju dengan cepat dalam kerjaya mereka dan (95%) mahu mengemas kini keupayaan mereka secara berterusan supaya kekal berdaya saing untuk diambil bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Laporan bersama ini adalah lanjutan program penyelidikan global ACCA yang disokong oleh forum majikan serta penyelidikan pihak ketiga, menjalankan soal selidik ke atas lebih daripada 9,000 responden berusia 18-25 tahun di seluruh dunia bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pelbagai isu berkaitan perniagaan dan pekerjaan.

 

Saw menambah, ekonomi Malaysia sedang mengalami tempoh transformasi yang genting, di mana aktiviti berasaskan pengetahuan dan perkhidmatan akan menyokong cita-cita negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

 

Menurutnya, keperluan untuk pekerja yang lebih berpengetahuan bagi memenuhi permintaan calon berbakat dalam profesion yang kurang mendapat perkhidmatan di negara ini tidak pernah segenting sekarang. 

 

"VCF 2021 adalah platform yang ideal untuk membantu Gen Z membina laluan kerjaya baharu di tengah-tengah landskap yang mencabar, memenuhi aspirasi dan harapan mereka untuk menjadi pemimpin dan individu berwawasan dalam dunia perniagaan," ujarnya.

 

Mendaftarlah sekarang di https://accaaseananzvcf.vfairs.com/ untuk menikmati pengalaman peningkatan kerjaya yang menyeluruh di VCF 2021, termasuk, peluang memenangi e-baucer beli-belah bernilai RM5,000.

 

Sila kunjungi https://www.facebook.com/acca.my/ dan https://www.accaglobal.com/ca/en.html untuk keterangan lanjut mengenai ACCA dan VCF 2021. - DagangNews.com