Pestech raih kontrak EPCC bernilai RM6.61 juta daripada syarikat berpangkalan di Australia | DagangNews Skip to main content

Pestech raih kontrak EPCC bernilai RM6.61 juta daripada syarikat berpangkalan di Australia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Pestech International Berhad memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sehingga A$2.23 juta (kira-kira RM6.61 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, Pestech Sdn. Bhd. (PSB) telah menerima surat cara perjanjian rasmi yang ditandatangani balas daripada DT Global Asia Pacific Pty. Ltd. yang berpangkalan di Australia untuk kontrak EPCC bagi Grid Mini PNG Power Limited (PPL) Arawa, Wilayah Autonomi Bougainville di Papua New Guinea.

 

Katanya, kontrak itu adalah sebahagian daripada Program Infrastruktur Ekonomi dan Sosial (ESIP) untuk PPL Arawa dan penyiapan praktikalnya dijadualkan pada 10 Januari 2024.

 

Termasuk dalam harga kontrak A$2.23 juta ialah jumlah sementara A$430,000 untuk item terpilih yang akan ditentukan semasa pelaksanaan projek.

 

Lebih daripada kontrak adalah tambahan skop variasi yang dipersetujui A$1.27 juta yang akan disahkan pada 31 Mei 2023. Jumlah sementara A$150,000 untuk item terpilih akan ditentukan semasa pelaksanaan projek.

 

Oleh itu, jumlah potensi harga kontrak boleh menjadi A$3.5 juta untuk skop penuh projek itu.

 

"Di bawah projek itu, Pestech akan terlibat dalam kerja-kerja bina pasang siap (turnkey) EPC untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem penjanaan diesel dan fotovoltaik hibrid serta kerja-kerja berkaitan di kemudahan sedia ada PPL di Arawa," katanya.

 

"ESIP berusaha untuk menyampaikan peningkatan kecekapan, kebolehpercayaan dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lebih rendah melalui projek itu.

 

"Sepanjang hayat perkhidmatannya, sistem yang telah siap itu dijangka menyediakan PPL dan penggunanya dengan sumber tenaga yang boleh dipercayai yang lebih mudah dan lebih menjimatkan kos untuk diselenggara," katanya.

 

Projek itu dijangka menyumbang secara positif terhadap hasil dan pendapatan Pestech, selaras dengan peringkat kemajuan projek yang akan diiktiraf pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 hingga 30 Jun 2024. - DagangNews.com