Petronas Chemicals bayar dividen RM1 bilion, berjaya catat perolehan RM28.7 bilion pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals bayar dividen RM1 bilion, berjaya catat perolehan RM28.7 bilion pada 2023

Dari kiri, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail; Pengerusi PCG, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim; Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak; bersama Pengarah Bebas Kanan/Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga, Yeoh Siew Ming pada AGM ke-26 PCG pada 24 April 2024.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 April Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) membayar jumlah dividen sebanyak 13 sen sesaham yang membawa kepada jumlah pembayaran sebanyak RM1 bilion, mewakili 61% nisbah pembayaran dividen bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2023.

 

Syarikat mengakhiri 2023 dengan hasil RM28.7 bilion dan keuntungan selepas cukai RM1.8 bilion, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 mengenai prestasi syarikat dengan pemegang saham.

 

AGM tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi PCG, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim, bersama ahli Lembaga Pengarah, sertaMazuin Ismail dan juga Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak yang turut menghadiri sesi tersebut.

 

Melalui AGM, Mazuin berkongsi berkenaan prestasi, rancangan pertumbuhan, agenda kelestarian, dan perancangan masa hadapan Syarikat untuk 2024.

 

Pada 2023 kata Mazuin, pertumbuhan ekonomi sedunia telah menjadi perlahan yang dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik dan pemulihan pasca-pandemik China yang kurang memberangsangkan.

 

Menurutnya, kos tenaga yang tinggi dan lebihan bekalan produk memberi tekanan lagi kepada kemerosotan industri, dengan permintaan lemah daripada sektor kimia.

 

 

pcg
Dari kiri, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail; Pengerusi PCG, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim; Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak; bersama Pengarah Bebas Kanan/Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga, Yeoh Siew Ming pada AGM ke-26 PCG.

 

 

Selain itu, perniagaan komoditi Petronas Chemicals turut menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang menjejaskan penggunaan loji, mengakibatkan pengeluaran yang lebih rendah.

 

“Di sebalik halangan-halangan ini, dengan pelaksanaan inisiatif strategik Syarikat secara berterusan, kami mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan, termasuk komoditi dan bahan kimia khusus, jumlah jualan sebanyak 9.6 juta tan di samping mengekalkan prestasinya berkenaan keselamatan,” kata beliau.

 

Prestasi pertumbuhan PCG kekal stabil dalam beberapa tahun ini yang disokong oleh kedudukan kewangannya yang kukuh.

 

Pada 2023, Syarikat juga mencapai fasa sedia untuk memulakan operasi (Ready for Start-Up) untuk dua loji; sebuah loji etoksilat khusus dan poliol polieter khusus di Kertih, Terengganu, dan loji lateks butadiena nitril (NBL) di Pengerang, Johor.

 

Loji di Kertih akan membolehkan PCG memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk kusyen (foam) dalam sektor automotif, produk pembersihan dan penjagaan diri manakala pengeluaran NBL membolehkan PCG mengambil peluang dalam pasaran sarung tangan lateks global, lantaran dengan status Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.

 

Terdapat juga beberapa perkembangan baharu di bawah platform bahan kimia khusus PCG, melalui anak syarikatnya, Kumpulan Perstorp (Perstorp) dan Kumpulan BRB (BRB).

 

Perstorp telah menyelesaikan pembinaan loji Sayakhanya di India pada 2023 untuk pengeluaran Pentaerythritol (Penta) dan VoxtarTM M40 yang disahkan oleh International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) PLUS untuk memperkukuhkan kedudukan pasarannya di rantau Asia Pasifik.

 

Sementara itu, BRB mengukuhkan keupayaannya dengan memasuki industri makanan melalui pensijilan utamanya untuk keselamatan makanan di Malaysia. Di samping itu, BRB telah mengembangkan jejak globalnya serta memulakan operasi penuh loji bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC) baharunya di Belanda, sambil mengukuhkan kehadiran pasarannya di UK dan Korea Selatan.

 

 

pcg

 

 

Komited untuk memajukan agenda kelestarian

Pada tahun 2023, PCG telah mengorak langkah yang penting dalam agenda Ekonomi Sirkular untuk menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari melalui pembinaan loji kitar semula kimia termaju di Pengerang, Johor.

 

Plastik akhir hayat untuk loji ini akan dikumpul daripada seluruh Malaysia, dengan matlamat untuk mengurangkan pembuangan plastik ke tapak pelupusan sampah. Loji kitar semula ini akan memberi kegunaan baru kepada plastik akhir hayat, dengan menghasilkan minyak pirolisis yang kemudiannya boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam pengeluaran plastik sirkular.

 

Industri kimia memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi dan penyelesaian lestari yang menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

 

Di samping itu, PCG, melalui Perstorp iaitu anak syarikat bahan kimia khususnya, terus mengembangkan portfolio produk lestarinya dengan pelancaran lima produk baharu yang disahkan oleh ISCC PLUS seperti 2-EH Pro 100 dan Valeric Acid Pro 100, yang mempunyai jejak karbon rendah dan diperbuat daripada 100% kandungan boleh diperbaharui. - DagangNews.com