Petronas kekal jenama ASEAN paling bernilai  | DagangNews Skip to main content

Petronas kekal jenama ASEAN paling bernilai 

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. -  Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengekalkan kedudukannya sebagai jenama ASEAN paling bernilai dalam laporan Brand Finance Global 500 bagi 2021. 

 

Malah, syarikat minyak negara itu juga mengekalkan kedudukan kesembilan dalam kalangan jenama perundingan penilaian minyak dan gas (O&G) global. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata, Indeks Kekuatan Jenama Petronas yang mengukur prestasi sesebuah jenama berbanding pesaing meningkat 87 mata berbanding 86.3 mata pada 2020. 

 

Brand Finance meletakkan kedudukan Petronas seiring dengan prestasinya yang konsisten, dengan nilai jenama berjumlah AS$12.04 bilion walaupun menyusut daripada AS$15.2 bilion pada tahun lalu. 

 

Dalam penilaian itu, Brand Finance mempertimbangkan 3 komponen utama dalam pengiraan nilai jenama iaitu kekuatan jenama, perniagaan dan ekonomi.

 

Kesemua 20 jenama minyak dan gas menyaksikan penurunan nilai jenama dengan sebahagian besarnya disebabkan faktor perniagaan dan luaran. 

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz juga tersenarai di kedudukan ke-38 dalam Brand Guardians 2021.

 

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai pengiktirafan di atas sumbangan besar yang diberikan oleh semua kakitangan Petronas. 

 

Selain itu, Tengku Muhammad Taufik turut diiktiraf antara tiga CEO syarikat O&G teratas dunia serta CEO ASEAN yang mempunyai kedudukan tertinggi. - DagangNews.com