Petronas umum pengeluaran gas pertama dari telaga Jerun, Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petronas umum pengeluaran gas pertama dari telaga Jerun, Sarawak

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 9 Julai - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini mengumumkan telaga Jerun di Blok SK 408, terletak kira-kira 160 kilometer dari pantai Sarawak, luar pesisir Malaysia, baru-baru ini telah mencapai pengeluaran gas pertamanya.

 

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata Sapura OMV Upstream (Sarawak) Inc, pengendali blok SK 408, memegang 40 peratus kepentingan penyertaan, manakala baki 60 peratus dikongsi sama oleh Petronas Carigali Sdn Bhd dan Sarawak Shell Bhd.

 

“Medan Jerun pertama kali ditemui pada 2015 oleh Sapura OMV, berikutan penggerudian sembilan telaga penerokaan dari 2014 hingga 2015.

 

"Mampu menghasilkan sehingga 550 juta kaki padu standard sehari, projek ini bersedia untuk menangani permintaan tenaga global yang semakin meningkat," katanya.

 

 

Datuk Bacho Pilong
                      Datuk Bacho Pilong

 

 

Naib presiden kanan pengurusan petroleum Malaysia Petronas Datuk Bacho Pilong berkata projek itu menjanjikan sumbangan besar ke arah mengekalkan bekalan gas jangka panjang Malaysia.

 

“Sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini,” katanya. - DagangNews.com