Phillip Capital mulakan liputan ke atas T7 Global dengan saranan 'beli', TP 68 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Phillip Capital mulakan liputan ke atas T7 Global dengan saranan 'beli', TP 68 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Phillip Capital memulakan liputan ke atas T7 Global Bhd dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 68 sen sesaham.

 

Katanya, kumpulan itu bersedia untuk menerima manfaat daripada jangkaan pemulihan perbelanjaan modal (capex) industri global didorong kenaikan harga minyak mentah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peruntukan capex tahunan Petronas yang meningkat kepada RM60 bilion melonjakkan lagi pemulihan aktiviti domestik.

 

"Dengan jangkaan kebangkitan semula aktiviti huluan industri minyak dan gas (O&G) tempatan, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat memandangkan penglibatannya dalam penyambungan dan pentauliahan (HUC), penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta  palam dan pengabaian telaga (P&A)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Phillip Capital menyukai T7 kerana nilainya yang unik, berfungsi sebagai proksi dalam memanfaatkan operasi domestik dan peningkatan penyelenggaraan serta disokong oleh pendapatan berulangnya yang stabil daripada unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (Mopus).

 

Katanya, anggaran pendapatan T7 bagi tahun ini akan disandarkan oleh Mopus, projek sistem pengendalian bagasi dan aktiviti minyak dan gas yang lebih tinggi.

 

“T7 dilihat menyerlah sebagai penerima utama peningkatan capex dengan prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh sertaaliran pendapatan berulang yang konsisten.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu dilihat berdepan pelbagai cabaran termasuk kelewatan projek yang tidak dijangka, kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, penurunan mendadak dalam harga minyak global," katanya. - DagangNews.com