Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Julai - Memasuki hari ketiga berturut-turut, Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian melebihi 400,000 dos.
Semalam, Malaysia sekali lagi mencatatkan jumlah pemberian dos tertinggi dengan jumlah sebanyak 434,828 dos.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah berkenaan meliputi 279,938 pemberian dos pertama dan 154,890 bagi pemberian dos kedua.
Tiga negeri mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin harian tertinggi semalam iaitu Selangor (114,146), Sarawak (74,136) dan Kuala Lumpur (70,609).
Peningkatan jumlah harian tersebut secara tidak langsung menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin meningkat kepada 12.6 juta bagi tempoh sama.
Jumlah kumulatif itu terdiri daripada 8.6 juta penerima dos pertama dan lebih 4 juta penerima dos kedua.
Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan peratusan populasi divaksin meningkat kepada 26.5% bagi penerima dos pertama dan 12.3% yang telah melengkapkan dua dos suntikan.
Bagi peratusan populasi yang divaksin mengikut pecahan negeri, Sarawak mencatatkan jumlah peratusan tertinggi sebanyak 51.8%, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (40.4%) dan Lembah Klang (39.6%).
Sabah bagaimanapun mencatatkan peratusan populasi divaksin yang terendah iaitu 11.1%. - DagangNews.com