PICK lepasi sasaran 4 hari berturut-turut, 73.4% populasi KL divaksin | DagangNews Skip to main content

PICK lepasi sasaran 4 hari berturut-turut, 73.4% populasi KL divaksin

Vaksin COVID-19. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin secara harian melebihi 300,000 dos bagi hari keempat berturut-turut.

 

Merekodkan jumlah harian tertinggi sebanyak 376,909 dos semalam, angka berkenaan melonjak berbanding 375,842 (7 Julai), 340,043 (6 Julai) dan 313,761 (5 Julai).

 

Jumlah harian yang dicatatkan semalam itu meliputi 222,927 pemberian dos pertama dan 153,982 bagi pemberian dos kedua.

 

.

 

Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi negeri yang tertinggi yang diberi suntikan dos harian semalam dengan masing-masing sebanyak 63,177 dan 36,302 bagi suntikan dos pertama.

 

Peningkatan jumlah suntikan harian itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di negara ini melonjak kepada 10.4 juta dos hingga semalam.

 

Jumlah berkenaan terdiri daripada 7.2 juta dos pertama dan 3.1 juta pemberian dos kedua.

 

.

 

Berdasarkan peratusan populasi Malaysia pula, sebanyak 22.1% penduduk di negara ini telah menerima suntikan dos pertama dan 9.8% berjaya melengkapkan suntikan bagi dos kedua.

 

Bagi peratusan populasi mengikut negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului negeri-negeri apabila 73.4% penduduknya telah disuntik vaksin dos pertama.

 

Jumlah berkenaan diikuti oleh Sarawak, Putrajaya dan Labuan dengan jumlah populasi penduduk yang divaksin adalah sebanyak 46.6%, 45.9% dan 38.5% bagi dos pertama.

 

Negeri-negeri lain bagaimanapun masih berada di bawah paras 30% populasi divaksin. - DagangNews.com