Pikas bantu percepat penurunan kes COVID-19, kata PM | DagangNews Skip to main content

Pikas bantu percepat penurunan kes COVID-19, kata PM

Muhyiddin Yassin. Kredit foto The Sun Daily

KUALA LUMPUR 16 Jun - Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang memfokuskan kepada industri pembuatan akan membantu mempercepatkan penurunan kes harian COVID-19 di negara ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program berkenaan akan mengurangkan jangkitan wabak dalam kalangan pekerja kilang apabila mereka dilindungi dengan lebih pantas menerusi pemberian vaksin.

 

Menurutnya, vaksinasi pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan menjadi keutamaan kerana ia merupakan sub-sektor penting dalam proses memulihkan ekonomi negara. 

 

"Satu sektor yang agak penting ialah ekonomi, dengan pelbagai sub-sektor kecil termasuk perkilangan dan pembuatan.

 

"Daripada laporan harian yang dibentang Kementerian Kesihatan (KKM), antara sektor yang masih banyak terkesan dengan jangkitan COVID-19 di tempat kerja adalah sektor pembuatan dan perkilangan.

 

"Jadi, penting untuk kita memberi perhatian kepada sektor ini. Pikas menjadi antara langkah kita untuk membantu menentukan kadar jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan dan peratusan kes menurun dengan cepat, di samping pekerja diberi suntikan," jelas beliau seperti dilapor Berita Harian.

 

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan pelaksanaan program Pikas yang pertama di kilang Texas Instrument hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

 

Pikas di Texas Instrument itu dijangka akan menyediakan sekitar 300 dos sehari meskipun berkeupayaan menyediakan dua kali ganda daripada jumlah berkenaan.

 

Muhyiddin berkata, jumlah tersebut disediakan setelah berlaku pengagihan di banyak tempat di seluruh negara. - DagangNews.com